Ahad, 23 Jun 2019 | 9:31pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Bangkok, hari ini. - Foto BERNAMA

Piala Dunia 2034: Peluang membida lebih cerah - Dr Mahathir

BANGKOK: Keputusan negara anggota ASEAN untuk membangunkan satu usaha bersama membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034, mampu memberi laluan kepada rantau ini sebagai penganjur kejohanan sukan terbesar di dunia.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata usaha itu mampu direalisasikan selepas lima negara ASEAN membangkitkan idea berkenaan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 di sini.

"Jika (negara ASEAN) buat bersendirian, kita tidak mungkin berpeluang menganjurkan kejohanan itu tetapi jika semua negara ASEAN bekerjasama, kita mungkin peluang menganjurkan Piala Dunia.

"Sudah tentu perlawanan boleh diadakan di semua negara ASEAN, sama seperti ketika Jepun dan Korea Selatan menganjurkan kejohanan itu pada tahun 2002,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keputusan ASEAN untuk mewujudkan usahasama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Terdahulu, Pengerusi ASEAN, Jen Prayuth Chan o-cha, berkata kesemua 10 negara anggota ASEAN bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.

Idea rantau ASEAN untuk menjadi tuan rumah temasya bola sepak terbesar di dunia itu dicadangkan kepada pemimpin negara sempena Sidang Kemuncak ASEAN kali ini.

951 dibaca
Berita Harian X