Sabtu, 22 Jun 2019 | 1:24pm
PAUL Pogba. - Foto Reuters

Pogba minta Sarri bawa ke Juve

LONDON: Paul Pogba menghubungi Maurizio Sarri untuk merayu pengendali Juventus itu menandatanganinya dari Manchester United.

Pemain tengah 26 tahun United itu mungkin akan meninggalkan Old Trafford musim panas ini selepas mendedahkan yang dia sedang mencari cabaran baharu.

Menurut laporan media Itali, Pogba – yang menyertai United dari Juventus pada tahun 2016 – menelefon Sarri bagi membincangkan perpindahannya ke kelab Itali itu.

Laporan itu mengatakan yang Pogba dalam keadaan terdesak untuk kembali ke Turin sehingga terpaksa menghubungi sendiri bekas pengendali Chelsea itu.

Bagaimanapun United seakan tidak mempedulikan hasrat Pogba dan mengharapkan juara Piala Dunia itu bersama United dalam jelajah pra-musim.

United berkeras yang Pogba tidak akan dijual dan meletakkan harga 150 juta pound (RM791.6 juta) ke atas pemain itu sekiranya ada kelab berhasrat mendapatkan khidmatnya.

Ole Gunnar Solskjaer membawa United kendaliannya ke Australia pada 8 Julai untuk menentang Perth Glory sebelum terbang ke China dan Singapura.

“Kami akan terbang ke Perth dengan skuad utama yang penuh,” kata Solskjaer.

“Setiap pemain harus bersedia untuk diturunkan, saya harap mereka cergas apabila kembali nanti, jadi pasukan utama akan berada di sana.” – AGENSI

 

 

Berita Harian X