Jumaat, 21 Jun 2019 | 6:49am
GAMBAR fail, Raul Gonzales menghadiri pelancaran bukunya "Raul, Nilai Kejayaan " (Raul, El triunfo de los valores) di Madrid pada Jun 2010. - Foto AFP

Raul ketuai pasukan simpanan Real

MADRID: Legenda Real Madrid, Raul Gonzalez dinamakan sebagai jurulatih pasukan simpanan kelab itu, Castilla, kata kenyataan Real awal pagi tadi, peranan yang sentiasa terbukti menjadi batu loncatan untuk menjadi jurulatih pasukan utama.

Raul ialah pemegang rekod penampilan terbanyak Real dengan 741 dan penjaring kedua terbanyak sepanjang zaman di belakang Cristiano Ronaldo, meledak 323 gol dalam tempoh 16 tahun ketika menang enam gelaran La Liga dan tiga Liga Juara-Juara.

Bekas penyerang Sepanyol itu yang juga pernah bersama Schalke, pasukan Qatar, Al Sadd dan New York Cosmos, sudah berkhidmat dengan pasukan Bawah 18 Tahun Madrid itu sejak Mac.

Zinedine Zidane adalah jurulatih Castilla sebelum dinamakan jurulatih utama pada 2016 manakala Santiago Solari mengikut jejak langkah sama musim lalu sebelum Zidane kembali sebagai ketua jurulatih.

Julen Lopetegui, Vicente del Bosque dan Rafael Benitez juga bekerja di Castilla sebelum berkhidmat dengan pasukan juara Eropah 13 kali itu.

Castilla gagal naik taraf ke divisyen dua Sepanyol dalam saingan playoffs dan Raul, 41, mensasarkan untuk mengetui mereka ke Segunda Division B musim depan. - Reuters

 

 

Berita Harian X