Rabu, 19 Jun 2019 | 11:08pm
PEMAIN JDT, Leandro Sebastian Velazquez (kanan) meraikan jaringan kedua bersama pemain, ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Harimau Selatan baham Red Giants

JOHOR BHARU: Pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) semakin hampir untuk menjulang kejuaraan liga buat kali keenam berturut-turut selepas menewaskan Selangor 3-2 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad Harimau Selatan kini mengumpul 43 mata sekali gus hanya perlu menang dua lagi perlawanan bermula menentang Melaka United, Rabu ini dan Perak pada 7 Julai.

Pun begitu dalam perlawanan malam tadi, pelawat lebih dulu membuat JDT berada dalam keadaan cemas seawal minit ketiga selepas serang balas hampir menyaksikan gol terhasil. Namun bola sepakan leret Endrick Parafita terkena tiang gol kiri ketika Farizal Marlias sudah pun tertewas.

Namun, tuan rumah akhirnya terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-10, selepas bola umpanan ke belakang Diogo Santo menyaksikan Gonzalo Cabrera merembat kencang dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri menewaskan, Khairul Azhan Mohd Khalid.

Selang dua minit kemudian skuad Harimau Selatan menyentap semangat The Red Giants apabila Leandro Velazquez yang tidak dikawal di posisi sayap kiri, merembat bola leret untuk meletak tuan rumah selesa dengan kedudukan 2-0.

Ketika aksi berbaki empat minit untuk ditamatkan pada babak pertama, Khyril Muhymeen Zambri merapatkan jurang gol apabila menghasilkan jaringan menerusi sepakan percuma dari jarak 25 meter tepat ke penjuru kiri gawang menewaskan Farizal untuk kedudukan 2-1.

Bersambung babak kedua, tuan rumah tampil dengan aksi garang dan hampir mencipta gol selepas bola sepakan percuma Safawi Rasid pada minit ke-46 ditanduk kemas Santo namun tiang gol menjadi penghalang.

Usaha berterusan JDT untuk menambah jaringan membuahkan hasil pada minit ke-61 apabila bola lorongan Velazquez membuka ruang buat Safawi yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti sebelum menolak bola leret menewaskan Khairul Azhan bagi kedudukan 3-1.

Pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-76 selepas K Sarkunan dilayangkan kad merah oleh Mohd Fairuzi Mohd Desa selepas pemain itu dengan sengaja menendang bola tepat kepada pengadil perlawanan.

Berbaki dua minit perlawanan untuk ditamatkan, pelawat berjaya meraih sepakan penalti dan pemain gantian Sandro Da Silva mencipta gol. Namun ia tidak mampu mengubah nasib skuad kendalian B Sathianathan yang terpaksa akur tewas 2-3 kepada JDT dalam perlawanan itu.

2453 dibaca
Berita Harian X