Selasa, 18 Jun 2019 | 11:04pm
PEMAIN Pahang, Mohmadou Sumareh (tengah) diasak penjaga gol PKNP FC, Khairul Thaqif Shah (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pahang sekat hajat PKNP

KUANTAN: Pahang kembali mencatat kemenangan apabila membenam PKNP FC 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Terikat 0-0 ketika berdepan Kedah Jumaat lalu, skuad kendalian Dollah Salleh bangkit mengutip tiga mata di laman sendiri.

Skuad Tok Gajah terpaksa menunggu hingga minit ke-20 untuk merobek gawang lawan menerusi jaringan pemain import dari Namibia, Lazarus Kaimbi.

Jaringan yang disempurnakan Kaimbi itu adalah yang pertama baginya selepas beraksi dalam dua perlawanan.


PEMAIN Pahang, Disckson Nwakaeme (tengah) diasak pemain PKNP FC, Mohamad Hafiz Hamdan pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang

Pada minit ke-28, penyerang import PKNP Giancarlo Rodrigues hampir menjaringkan gol penyaman tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias.

Selang dua minit, Dickson Nwakaeme menjaringkan gol kedua untuk memastikan skuad Tok Gajah selesa mendahului PKNP 2-0 pada aksi separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, biarpun ketinggalan dua gol, skuad bimbingan Abu Bakar Fadzim yang perlu mengutip mata untuk mengelak berada dalam zon penyingkiran lebih banyak bertahan.

Pertahanan kental yang dipersembahkan Pahang menyaksikan misi PKNP untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata tidak kesampaian manakala Pahang pula kekal di tangga kedua Liga Super.

 


PEMAIN Pahang, Disckson Nwakaeme meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang PKNP FC pada saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang

1584 dibaca
Berita Harian X