Selasa, 18 Jun 2019 | 8:58pm
Luciano Figueroa. - Foto Effendy Rashid

JDT ubah strategi jumpa Selangor

JOHOR BAHRU: Ujian getir menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) pada pertembungan Liga Super dengan Selangor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam esok.

Keputusan seri 1-1 ketika menentang PKNP FC Jumaat lalu bukanlah keputusan yang diinginkan skuad Harimau Selatan yang berhasrat menjarakkan lagi kedudukan mata dengan pencabar terdekat Pahang di persada liga.

Walaupun masih di tangga teratas liga selepas mengharungi 16 perlawanan dengan mengumpul 40 mata, JDT tidak boleh lagi keciciran mata untuk merealisasikan impian memburu kejuaraan liga keenam berturut-turut, sebaliknya harus tampil lebih agresif bagi menjinakkan skuad The Red Giants.

Di atas kertas, JDT memerlukan tiga kemenangan lagi daripada baki enam perlawanan bagi mengesahkan kejuaraan liga dan pertembungan menentang skuad kendalian B Sathianathan menjadi ukuran sebenar kemampuan anak buah Luciano Figueroa dan Benjamin Mora.

"Keputusan seri dengan PKNP FC bukanlah yang kami inginkan dan kami tidak beraksi dengan baik pada perlawanan itu dan mahu melupakan perkara yang lepas, sebaliknya kami kini memberi tumpuan untuk aksi menentang Selangor," kata Figueroa.

"Selangor adalah pasukan yang hebat dan kami harus berwaspada dengan corak permainan lawan. Mereka akan turun untuk cuba mengecewakan kami namun kami bersedia untuk beri tentangan pada perlawanan itu nanti.”

Figueroa dan Mora bakal melakukan rombakan di posisi tengah kerana tidak dapat menurunkan Afiq Fazail selepas pemain itu digantung satu perlawanan akibat layangan kad merah ketika aksi menentang PKNP FC, Jumaat lalu.

Namun situasi itu tidak merisaukan kem JDT berdasarkan kualiti pemain di bangku simpanan yang mampu mengisi kekosongan Afiq. Kemungkinan Syamer Kutty Abba akan bergandingan dengan Hariss Harun dan Leandro Velazquez dalam formasi 4-3-3.

Berita Harian X