Sabtu, 15 Jun 2019 | 11:21pm
PEMAIN Selangor, Ifedayo Olusegun (kiri) meraikan gol pertama bersama rakan sepasukan pada perlawanan bolasepak Liga Super Malaysia antara Kuala Lumpur dan Selangor di Stadium Shah Alam. NSTP/Hafiz Sohaimi

Selangor sahkan status juara Lembah Klang

 

SHAH ALAM: Lembah Klang Selangor yang punya!

Selangor melengkapkan kemenangan berganda musim ini ke atas Kuala Lumpur menerusi kemenangan 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Selepas meraih kemenangan 3-2 di Cheras sebelum ini, anak buah B Sathianathan sekali lagi terpaksa berhempas pulas untuk menumpaskan skuad The Hawks pada aksi ‘Derbi Lembah Klang’ di laman sendiri.

Pada aksi terbabit, serangan Selangor tampak lebih banyak memasuki kawasan Kuala Lumpur namun percubaan tepat pertama hanya hadir pada minit ke-27 menerusi Amri Yahyah yang sekadar menuju ke dakapan penjaga gol Kuala Lumpur, Mohd Sharbinee Alawee.

Kuala Lumpur cuba mengatur gerakan menggunakan serangan balas pantas namun skrip sama seperti Selangor - tiada jaringan dapat dihasilkan pelawat.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur nyaris mengejutkan Selangor apabila Azmi Muslim melakukan percubaan lambung yang terpaksa diselamatkan Khairul Azhan Khalid pada minit ke-37 sekali gus menyelamatkan gawang tuan rumah.

Sejurus gawang gol Selangor terselamat, mereka melancarkan serangan balas pantas yang disudahkan dengan jaringan oleh Ifedayo Olusegun membolehkan mereka mendahului 1-0 sehingga tamat babak pertama.

Bersambung babak kedua, perlawanan kecoh seketika apabila berlaku sedikit kontroversi membabitkan jaringan penyamaan Kuala Lumpur namun ia dileraikan selepas pengadil, Fitri Maskon memberikan sepakan penalti kepada pelawat yang disempurnakan Guilherme de Paula untuk kedudukan 1-1 pada minit ke-58.

Ketika Kuala Lumpur membayangkan satu mata bakal dibawa pulang, sepakan penalti meleburkan impian mereka pada masa tambahan dengan Sandro da Silva tidak berdepan masalah menyudahkan sepakan itu untuk gol kemenangan Selangor.

 

 

Berita Harian X