Sabtu, 15 Jun 2019 | 1:56pm
Pertahanan FELDA United Thiago Junio De Aquino (dua dari kiri) berjaya menewaskan pertahanan PKNS FC Rodney Celvin Akwensivie untuk gol pertama pasukannya pada perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tun Abdul Razak (STAR) malam tadi. - Foto BERNAMA

Nidzam lega, Rajagobal kecewa

KUANTAN: Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil lega selepas mencatat kemenangan 5-4 ke atas PKNS FC dalam saingan Liga Super, di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan itu turut membantu The Fighters menambah keyakinan diri untuk mengubah kedudukan terbawah liga ketika ini.   

"Biarpun panik kerana hampir terlepas tiga mata di laman sendiri, kemenangan ini sudah cukup membantu menambah pungutan mata dalam saingan liga.  

"Sudah pasti saya gembira dengan kemenangan ini walaupun PKNS FC hampir menafikannya selepas bangkit daripada ketinggalan 1-5 dan merapatkan kedudukan 4-5.  

"Apa yang penting kedudukan mata berganjak dan ini sedikit sebanyak dapat membantu kami terus memperbaiki kedudukan selepas ini," katanya.  

Sementara itu, pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal meluahkan kekecewaan kerana anak buahnya gagal mempamerkan aksi seperti diharapkan.  

Katanya, kekalahan itu memberi pengajaran buat pemain untuk tampil dengan aksi konsisten dan tidak mudah hilang fokus biarpun lawan menjaringkan gol pendahuluan. 

"Bagi saya, aksi pada babak kedua jelas menunjukkan pemain gagal beraksi dengan baik hingga dibolosi empat gol... walaupun kami cuba bangkit, namun sudah terlambat," katanya.  

Pada perlawanan malam tadi, lima gol FELDA United, masing-masing dijaringkan Thiago Aquino pada minit keempat, kapten Hadin Azman (m-44), Faiz Mazlan (m-47) serta dua gol pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal (m-51 dan m-55).  

Empat gol PKNS pula disumbang Kpah Sherman pada minit ke-15, Tamirlan Kozubaev (m-60), Jafri Firdaus Chew (m-71) dan Rodney Akwensivie (m-81).

 

 

Berita Harian X