Sabtu, 15 Jun 2019 | 10:16am
Penyerang Wales, Gareth Bale merembat bola ke arah gawang Hungary pada saingan Kumpulan E Kelayakan Euro 2020 di Budapest, Selasa lalu. - Foto AFP

'Bale serasi dengan Man Utd'

LONDON: Gareth Bale ‘serasi’ dengan Manchester United, kata legenda Wales, Ian Rush sambil menambah hanya Red Devils dan Tottenham pilihan realistik untuk bintang Real Madrid yang tersisih itu.

Selepas masa depannya di Santiago Bernabeu menjadi perdebatan, kepulangan semula ke Liga Perdana menjadi satu daripada pilihan pemain kebangsaan Wales itu ketika ini.

Real difahamkan akan mengaktifkan perpindahan secara pinjaman dengan kelab gergasi Sepanyol itu dipercayai tidak sabar untuk menyingkirkan pemain berusia 29 tahun itu.

Jika pintu keluar dari Bernabeu terbuka untuk Bale, Rush yang juga legenda Liverpool percaya dia perlu menimbang pilihan untuk kembali bersama Spurs atau memilih perpindahan lebih berprofil tinggi ke Old Trafford.

Ketika ditanya soalan mengenai khabar angin membabitkan Bale dengan Spurs dan Red Devils, Rush berkata: “Selain daripada itu, apa lagi yang kamu lihat? Melihat kepada Manchester United musim lalu, saya fikir dia akan terus berjalan ke dalam pasukan ketika ini.”

Rush menambah berpandukan kepada situasi Bale ketika ini, jelas pemain itu adalah bebanan di Real.

“Apabila kelab mahu menyingkirkan kamu dan kamu mahu kekal, ia amat sukar dan saya merasa simpati kepadanya kerana seperti yang saya katakan sebelum ini, peminat Real sepatutnya memberikan tepukan kepadanya,” kata Rush.

“Kamu perlu memahaminya sekarang di mana pengurus yang berlainan mempunyai cara yang berbeza. Kita hanya berharap yang Gareth akan kembali, harapnya di Liga Perdana kerana semua orang mahu melihatnya bermain.

“Pada dua perlawanan bersama Wales sebelum ini, dia tidak beraksi seperti kebiasaan, tetapi kadang kala pemain hebat mempunyai tempoh yang buruk,” katanya. - AGENSI

 

 

Berita Harian X