Khamis, 13 Jun 2019 | 8:14pm
PEMAIN Melaka United, Patrick Reichelt (tengah) pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Krubong. NSTP/Khairunisah Lokman

Reichelt senjata MU hadapi TFC

 

MELAKA: Kepulangan import kelahiran Berlin, Jerman Patrick Reichelt ke pangkuan Melaka United (MU) selepas menyertai perlawanan antarabangsa amat melegakan jurulatih, Zainal Abidin Hassan menjelang pertemuan berdepan Terengganu FC (TFC) di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini.

Selepas membarisi skuad Filipina, pemain naturalisasi itu kini menjadi taruhan terbaik buat Zainal merobek gawang TFC menerusi reputasinya sebagai penjaring terbanyak skuad Hang Tuah ketika ini.

Zainal berkata, lapan gol jaringan Reichelt menjadikannya antara senarai peledak utama Liga Super ketika ini mampu menjadi bekal motivasi buat pemain berkenaan beraksi lebih garang kali ini.

“Apapun kami jangka dia akan menjadi fokus utama pertahanan lawan untuk mengelak kubu mereka dibolosi. Justeru sudah pasti pengalaman antarabangsanya dan gabungan rangkaian serangan perlu dititik berat untuk membolehkan jaringan mampu dihasilkan.

“Malah jika dia menjadi fokus lawan, sudah pasti membuka ruang buat Davy Angan dan pemain tempatan lain mencipta gerak seterusnya mencetak jaringan,” katanya.

Apapun Zainal mengharapkan semua pemain akan bertindak dengan baik sebagai sebuah pasukan dengan pergerakan dan perencanaan juga bergantung antara satu sama lain.

Zainal berkata, bagaimanapun dia memberi kebebasan untuk anak buahnya  menggunakan kemahiran individu pada masa dan situasi sesuai sekali gus mampu mengelirukan pasukan lawan.

 

 

 

382 dibaca
Berita Harian X