Khamis, 13 Jun 2019 | 2:04pm
Jurulatih FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil. - Arkib NSTP

The Fighters tak boleh cicir mata

KUANTAN: Mohd Nidzam Jamil mengakui kemenangan FELDA United FC ke atas PKNS FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam esok, akan membantu kelab itu untuk memperbaiki kedudukan tercorot Liga Super.  

Pengendali The Fighters itu berkata, segalanya sudah dilakukan sepanjang sesi latihan dalam usaha merekodkan kemenangan kedua dalam saingan liga itu.  

"Selepas 14 perlawanan, kami hanya merekodkan satu sahaja kemenangan, enam seri manakala selebihanya tewas.  

"Sudah pasti sebaik liga bersambung, kami tidak boleh lagi kehilangan mata memandangkan semua pasukan lain juga sedang mencari kemenangan," katanya.  

Mohd Nidzam yang juga bekas pemain kebangsaan sedar cabaran getir perlu dihadapi skuad kendaliannya apabila berdepan skuad bimbingan jurulatih berpengalaman, Datuk K Rajagobal itu.  

Katanya, ini kerana PKNS turut melakukan rombakan pemain dengan menyenaraikan beberapa muka baharu termasuk tenaga import.  

"Saya percaya pemain sudah cukup bersedia untuk memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri dan seterusnya mencatatkan keputusan positif.  

"Misi untuk menang adalah matlamat utama pasukan dan diharapkan jentera serangan yang sebelum ini tumpul kembali menemui rentak. 

"Sentuhan penyerang Singapura (Khairul Amri Kamal) juga diharapkan dapat merobek gawang PKNS, sekali gus menambah pungutan mata buat pasukan," katanya.

236 dibaca
Berita Harian X