Khamis, 13 Jun 2019 | 1:03pm
AZAMUDDIN Akil

Azamuddin idam aksi terbaik bertemu Pahang

ALOR SETAR: Pemain sayap, Azamuddin Akil mahu membuktikan kemampuan dirinya bersama skuad Kedah yang bakal melayan kunjungan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, esok.

Beliau yang dikenali sebagai Alex  kini sudah pulih dari kecederaan kaki yang dialami sejak lapan bulan lalu dan kini memasang tekad untuk memberi aksi terbaiknya dalam membantu Kedah mendapatkan tiga mata dalam persaingan liga super.

"Kami tidak lagi boleh kehilangan mata dan kami akan fokus sepenuhnya pada perlawanan ini kerana tiga mata yang dicari amat penting memandangkan pasukan di tempat keempat dan kelima turut mengekori rapat dengan jumlah kutipan mata yang sama dengan Kedah." 

"Saya bersyukur kerana bermula dengan penampilan pertama pada perlawanan Kedah menentang PKNS FC bulan lalu, semua yang terlibat termasuk fisio, jurulatih dan juga rakan seperjuangan banyak memberi sokongan moral untuk saya kembali bangkit ketahap prestasi sepenuhnya."

Ditanya mengenai aksi Kedah tanpa beberapa tonggak utama seperti Jonathan Bauman, Rizal Ghazali dan Azmeer Yusof yang menjalani penggantungan kad kuning pada perlawanan esok, Azamuddin melihat perkara itu menjadi lumrah serta cabaran yang perlu ditempuhi. 

"Saya yakin pemain muda dan juga pemain senior dalam pasukan mampu menggalas tugas bagi mengimbangi posisi penting berkenaan kerana bagi saya sesiapa yang ditentukan untuk beraksi oleh jurulatih nanti pasti mempunyai keazaman yang tinggi." 

Pemain kelahiran Pahang ini juga mensasarkan tempoh aksi yang lebih lama di atas padang bagi meningkatkan tahap permainannya berbanding perlawanan sebelum ini. 

"Sasaran saya kini adalah untuk beraksi lebih lama di padang kerana sebelum ini saya telah beraksi selama 20 minit sewaktu Kedah menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dan kini saya bersedia untuk beri aksi yang lebih lama untuk pasukan sekiranya diberi tanggungjawab nanti.”

"Namun apa yang lebih penting adalah kemenangan untuk Kedah berbanding tempoh untuk saya beraksi."

"Saya lebih bersemangat dan apapun saya tetap menganggap Pahang sebuah pasukan yang akan memberi cabaran yang hebat dan kami tidak sesekali akan mengambil mudah pada perlawanan kali ini walaupun beraksi di tempat sendiri." katanya 

1237 dibaca
Berita Harian X