Khamis, 13 Jun 2019 | 9:06am
Mendy (kanan) menandatangani kontrak enam tahun bersama Madrid. - Foto fail Reuters

Mendy perkuat benteng Real

MADRID: Real Madrid meneruskan pembelian musim panas dengan menyempurnakan perpindahan bek kiri Ferland Mendy dari Lyon.

Mendy menandatangani kontrak enam tahun bersama Madrid, yang kini sudah menambah empat pemain baharu untuk musim depan selepas ketibaan Eder Militao, Eden Hazard dan Luka Jovic.

Hazard adalah pembelian termahal kali ini, dikatakan sekitar 50 juta euro (RM235 juta), bermakna Madrid sudah membelanjakan hampir 300 juta euro (RM1.41 bilion) keseluruhan setakan ini.

“Real Madrid dan Lyon bersetuju dengan perpindahan Ferland Mendy,” kata kelab gergasi Sepanyol itu. “Pemain itu akan diikat oleh Real Madrid untuk enam musim akan datang, sehingga 30 Jun 2025.”

Mendy akan diperkenal di Santiago Bernabeu Rabu depan, dan pemain 24 tahun itu mungkin terpaksa bersaing dengan pemain berpengalaman Marcelo dan Sergio Reguilon untuk posisi di bek kiri.

Sama ada kehadirannya memberi kesan kepada masa depan Marcelo, yang mengharungi musim sukar dan dikaitkan dengan perpindahan ke Juventus, atau Reguilon, masih menjadi tanda tanya.

Mendy menikmati musim memberangsangkan tahun lalu, bermain 30 perlawanan Ligue 1 untuk Lyon dan membantu kelab Perancis itu mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara. Dia turut mendapat panggilan untuk skuad Perancis pada November.

 

“Dia menunjukkan peningkatan yang ketara,” kata pengendali Perancis Didier Deschamps. “Dua tahun lalu dia berada di Ligue 2 dan kini dia akan beraksi untuk Real Madrid.”

Mendy muncul menerusi akademi remaja Paris Saint-Germain tetapi masalah di bahagian pinggulnya menyebabkan dia hampir menamatkan kariernya. Bagaimanapun dia berpindah ke Le Havre sebelum menyertai Lyon pada tahun 2017. – AFP

Berita Harian X