Rabu, 12 Jun 2019 | 4:25pm
MUHAMMAD Shahrel Fikri Md Fauzi

Lepas ledak hatrik, Eki pasang impian lebih tinggi

KUALA LUMPUR: Penyerang Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi berhasrat untuk terus menyarung jersi skuad Harimau Malaya dan berazam membuktikan kemampuannya sebagai seorang penggempur berbisa pasukan kebangsaan.

Muhammad Shahrel atau lebih dikenali sebagai ‘Eki’ menjaringkan empat gol ketika Malaysia meraih kemenangan agregat 12-2 ke atas Timor Leste dalam playoff pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selepas mencetak nama sebagai penjaring ketika Malaysia menewaskan Timor Leste 7-1 pada aksi pertama, beliau meledak hatrik pertama bersama skuad kebangsaan pada aksi kedua semalam yang menyaksikan Malaysia meraih kemenangan 5-1.

Di sebalik prestasi cemerlangnya, penyerang Perak berusia 24 tahun itu enggan mendabik dada, sebaliknya ingin terus berusaha keras memperbaiki kelemahan.

“Walaupun gembira tetapi saya tidak mahu berbangga sangat dengan pencapaian ini kerana kita hanya cuma berdepan pasukan yang dikatakan tidak begitu besar. Bagi saya prestasi saya masih perlu ditingkatkan.

“Saya tidak boleh berasa selesa sangat dengan kedudukan sekarang kerana setiap pemain sentiasa berusaha menjadi lebih baik daripada sebelumya. Saya akan terus berusaha lebih keras untuk masa depan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Prestasi Eki, turut mendapat perhatian ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe yang mahukan bekas pemain PKNP FC itu diberikan lebih masa bermain bersama Perak dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan semalam, Cheng Hoe berkata Eki perlu kerap diturunkan sebagai penyerang utama daripada bermain sebagai pemain sayap.

“Beliau sentiasa memberikan yang terbaik...komitmen yang diberikan sangat tinggi dan juga sentiasa berusaha untuk memahami taktikal permainan. Tetapi beliau kena perkemaskan lagi permainannya terutama di depan pintu gol. Kita harap, dalam liga, beliau akan bermain lebih kerap sebagai pemain nombor 9,” kata Cheng Hoe.

-- BERNAMA

Berita Harian X