Jumaat, 7 Jun 2019 | 11:38am
Eden Hazard. - Foto Reuters

Real setuju perjanjian dapatkan Hazard

LONDON: Real Madrid bersetuju dengan perjanjian mega untuk mendapatkan pemain tengah Chelsea, Eden Hazard dengan nilai mencecah sehingga 130 juta euro (RM609 juta), menurut laporan media Britain.

Hazard menjadi buruan utama Real dalam usaha gergasi Sepanyol itu bangkit daripada musim yang hambar dengan bintang Belgium itu dijangka akan melengkapkan perpindahannya ke Bernabeu dalam tempoh beberapa hari lagi.

Akhbar Daily Telegraph melaporkan Real dan Chelsea bersetuju mengenai terma perjanjian, semalam selepas beberapa hari mengadakan perbincangan.

Real pada awalnya menawarkan 88 juta euro (RM412.25 juta) tetapi jumlah akhir boleh mencecah setinggi 130 juta euro (RM609 juta) apabila semua pembayaran bonus turut dimasukkan.

Yuran asas untuk Hazard dijangkakan mencecah 100 juta euro (RM468.46 juta), jumlah yang Chelsea peroleh sekali pun pemain berusia 28 tahun itu memasuki tahun terakhir dalam kontraknya di Stamford Bridge.

Selama tujuh musim di Chelsea, Hazard memenangi dua gelaran Liga Perdana, dua trofi Liga Europa, satu Piala FA dan Piala Liga.

Dia menjaringkan dua gol ketika Chelsea menewaskan Arsenal 4-1 pada final Liga Europa di Baku, Azerbaijan bulan lalu dan pantas mendedahkan tempohnya di Chelsea hampir berakhir.

"Saya fikir ia ucapan selamat tinggal. Impian saya adalah untuk bermain di Liga Perdana dan saya melakukannya selama tujuh tahun. Mungkin sudah tiba masa untuk mencari cabaran baharu,"  kata Hazard selepas aksi di Baku.

Hazard menyertai Chelsea dari Lille pada 2012 dan kelab itu memang sudah dijangka akan kehilangan khidmatnya selepas dia enggan menandatangani sebarang kontrak lanjutan apabila mendengar komen idolanya yang juga pengurus Real, Zidane Zidane. - AFP

 

 

1295 dibaca
Berita Harian X