Khamis, 6 Jun 2019 | 8:57pm
TAN Cheng Hoe.

Cheng Hoe risau padang hancur sebelum bertempur

KUALA LUMPUR: Cuaca tidak menentu sepanjang minggu ini yang memungkinkan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ‘hancur’ menjelang aksi pertama ‘play-off’ Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 terus menerbitkan kerisauan dalam hati pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Selepas menyaksikan anak buahnya bergelut apabila beraksi atas permukaan padang yang buruk ketika bertemu Nepal, Cheng Hoe bagaimanapun sudah mengambil pengajaran sekiranya permukaan padang sekali lagi menjadi ‘musuh’ mereka untuk aksi bertemu Timor Leste, malam esok.

Jelas Cheng Hoe, dia sudah bersedia dengan ‘Pelan B’ bagi memastikan misi mereka untuk meraih kemenangan sekali gus memperolehi tonik terbaik menjelang aksi kedua di venue sama, 11 Jun ini dapat dicapai tanpa sebarang masalah.

“Kita tengok dulu cuaca esok namun saya mengharapkan keadaan permukaan padang akan menjadi bertambah baik berbanding aksi menentang Nepal.

“Apapun, kita tahu pemain kita sudah biasa dengan situasi sebegitu di mana ada beberapa stadium yang padangnya tidak begitu baik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

“Kita perlu fleksibel untuk melakukan perubahan mengikut keadaan yang diperlukan,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai aksi terbabit, Cheng Hoe mahukan anak buahnya mengekalkan rentak konsisten selepas berjaya memperagakan aksi meyakinkan ketika membenam Nepal 2-0, Ahad lalu.

“Pemain perlu terus beraksi dengan cara yang kita mahukan. Namun ia bukanlah aksi yang mudah buat kita kerana Timor Leste turut melakukan persiapan yang rapi untuk perlawanan ini.

“Sebahagian besar pemain mereka adalah daripada skuad Piala AFF Suzuki 2018 namun kita tidak boleh memandang rendah kerana bukan sahaja memiliki kepantasan namun mereka ada semangat juang yang tinggi,” katanya. 

Berita Harian X