Isnin, 3 Jun 2019 | 5:33pm
SAFAWI Rasid (kanan) melepasi pemain Nepal Sujal Shrestha pada perlawanan persahabatan ketika menentang pasukan Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. - Foto BERNAMA

Safawi asah penyudah

KUALA LUMPUR: Pemain sayap skuad kebangsaan, Safawi Rasid mengakui perlu menajamkan lagi penyudah di depan gol untuk mengharungi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Timor Leste Jumaat dan 11 Jun ini.

Tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menjelaskan masih ada masa buat dirinya dan rakan sepasukan lain memperbaiki segala kelemahan sebelum turun menentang Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Beliau berkata, antara kelemahan masih perlu diperbaiki selain mempertajamkan penyudah adalah komunikasi antara semua pemain.

"Selepas Aidilfitri nanti kami akan tingkatkan dengan banyak latihan untuk mendapatkan keserasian. Keputusan malam ini (berdepan Nepal) sangat baik dan ia mungkin akan memberi kesan kepada ranking kita.

"Memang banyak peluang, mungkin bukan rezeki saya (untuk menjaringkan gol). Saya teruskan usaha dan berjaya menyudahkan sepakan, namun saya perlu tajamkan lagi penyudah," katanya selepas aksi persahabatan berdepan Nepal, semalam.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Harimau Malaya menang 2-0 mengatasi Nepal hasil jaringan Safawi dan Shahrul Saad.

Selain itu, Safawi yang berasal dari Dungun, Terengganu berharap semua pemain menjaga kesihatan dan pemakanan ketika menyambut Aidilfitri bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik untuk berdepan Timor Leste.

"Kami sebagai pemain profesional tahu apa yang kami perlu lakukan walaupun balik menyambut Aidilfitri. Tapi apa yang kami lakukan, kami kena jaga," katanya.

Berita Harian X