Isnin, 3 Jun 2019 | 5:24pm
Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - NSTP/Aziah Azmee

Cheng Ho tak gembira keadaan padang

KUALA LUMPUR: Walaupun membenam Nepal 2-0, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mampu menyembunyikan perasaan kurang senang terhadap keadaan permukaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Bekas ketua jurulatih Kedah itu menjelaskan keadaan padang di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu nyata menjejaskan persembahan aksi persahabatan berdepan Nepal, semalam.

Namun, apa yang membimbangkan ketika ini apabila gelanggang sama juga bakal digunakan untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini.

"Saya tidak gembira dengan keadaan padang dan ia tidak melancarkan cara permainan kami. Permukaan padang memperlahankan hantaran bola dan pergerakan kami," kata Cheng Hoe selepas aksi berdepan Nepal.

"Sukar untuk menjaringkan gol, sudah pasti ia bukan alasan tetapi saya sangat berharap padang dapat diperbaiki untuk masa akan datang kerana untuk menampilkan permainan terbaik, kami perlukan padang yang berkualiti.

"Pada aksi kelmarin, gol hasil sepakan penalti Safawi Rasid dan tandukan Shahrul Saad yang berpunca daripada sepakan percuma sudah cukup untuk Harimau Malaya menundukkan Nepal, sekali gus menjadi tonik terbaik sebelum bertemu Timor Leste.

Mengulas mengenai persembahan anak buahnya, Cheng Hoe mengakui tidak bimbang dengan prestasi jentera serangan Harimau Malaya walaupun mereka hanya mendapat dua gol berpunca dari situasi bola mati.

Katanya, tempoh beberapa hari sebelum berdepan Timor Leste perlu digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki beberapa kelemahan dalam skaud Harimau Malaya.

"Sudah pasti perlawanan dengan Nepal adalah aksi pemanas badan dan motivasi terbaik untuk kami. Bukan saja penyerang, keseluruhan persembahan pasukan juga masih perlu diperbaiki.

"Bola sepak bukan saja membabitkan permainan terbuka kerana kadang-kadang situasi bola mati pun penting ketika perlawanan 50-50. Tapi jika kita berjaya menggunakan peluang itu untuk menjaringkan gol, ia juga satu petanda positif," katanya.

Berita Harian X