Isnin, 3 Jun 2019 | 6:54am
Bas yang membawa pasukan Liverpool disambut penyokong semasa perarakan kepulangan The Reds selepas menewaskan Tottenham pada aksi final Liga Juara-Juara, kelmarin. - Foto REUTERS

'Lautan merah' di Liverpool

LIVERPOOL: Liverpool meraikan kejayaan muncul selaku Juara Eropah dengan puluhan ribu penyokong mereka menyambut kepulangan skuad The Reds selepas menewaskan Tottenham pada aksi final Liga Juara-Juara, kelmarin.

'Lautan merah' terhasil di Liverpool ketika bas yang membawa pengurus, Jurgen Klopp serta barisan pemain pasukan itu berarak di sekitar bandar raya terbabit.

"Saya begitu teruja namun masih lagi mabuk, inilah mabuk yang terbaik," kata penyokong, Peter Broad, 37, yang turut menyertai sambutan meraikan pemain Liverpool.

Liverpool meraih gelaran Liga Juara-Juara buat kali keenam selepas menewaskan Spurs 2-0 menerusi sepakan penalti pada minit kedua oleh Mohamed Salah dan jaringan penghujung babak kedua boleh Divock Origi pada aksi di Stadium Metropolitano, Madrid.


Bas yang membawa pasukan Liverpool disambut penyokong semasa perarakan kepulangan The Reds selepas menewaskan Tottenham pada aksi final Liga Juara-Juara, kelmarin. - Foto EPA

Ini trofi pertama yang dimenangi Liverpool dalam tempoh tujuh tahun sekali gus menebus kehampaan tewas di tangan Real Madrid, tahun lalu.

Kemenangan itu turut menyaksikan Klopp menamatkan rentetan kekalahan dalam enam aksi final berturut-turut.

"Kami menangis di atas padang kerana ia begitu beremosi. Kemenangan itu  amat bermakna buat kami," kata Klopp.

Dalam masa sama, Klopp mendedahkan dia menerima ucapan tahniah menerusi panggilan telefon daripada pengendali Manchester City, Pep Guardiola.

"Kami berjanji akan terus memberi saingan pada musim hadapan. Kami akan cuba menyasarkan segalanya dan lihat jika kami dapat memperoleh sesuatu daripadanya.”

Sementara itu, pengurus Spurs,  Mauricio Pochettino menegaskan dia bangga dengan anak buahnya yang mencipta kejutan mara ke final pentas berprestij itu.

"Apabila anda menikmati pengalaman ini, anda sudah tentu mahu mengulanginya. Saya harapkan kami dapat melakukannya sekali lagi pada masa akan datang."

-AFP

 


Bas yang membawa pasukan Liverpool disambut penyokong semasa perarakan kepulangan The Reds selepas menewaskan Tottenham pada aksi final Liga Juara-Juara, kelmarin. - Foto Reuters

Berita Harian X