Isnin, 3 Jun 2019 | 12:02am
PEMAIN Malaysia, Muhammad Syazwan Zainon (kanan) diasak pemain Nepal, Ananta Tamang pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

Tonik terbaik berdepan Timor Leste

 

KUALA LUMPUR: Harimau Malaya mendapat tonik terbaik sebelum aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas menundukkan Nepal 2-0 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe dijadualkan berdepan Timor Leste dalam aksi kelayakan di gelanggang sama pada 7 dan 11 Jun ini.

Walaupun berada tujuh anak tangga di belakang Nepal yang menghuni kedudukan 161 dunia, anak buah Cheng Hoe dilihat lebih menguasai permainan sejak awal perlawanan.

Percubaan terbaik Harimau Malaya hadir pada minit ke-32 menerusi rembatan Safawi Rasid tetapi berjaya diselamatkan penjaga gol Nepal, Kiran Kumar Limbu.


PEMAIN Malaysia, Muhammad Syafiq Ahmad (tengah) diasak pemain Nepal, Ravishankar Paswan pada perlawanan persahabatan antarabangsa antara Malaysia menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Eizairi Shamsudin

Jaringan dicari Harimau Malaya akhirnya menjelma enam minit selepas bersambung babak kedua menerusi Safawi yang menyudahkan sepakan penalti apabila Akhyar Rashid dijatuhkan pertahanan lawan.

Ketika masa sebenar perlawanan berbaki lapan minit, Shahrul Saad mengesahkan kemenangan 2-0 Harimau Malaya selepas menanduk masuk bola sepakan percuma Nor Azam Azih.

Untuk rekod, Nepal tidak pernah mencatat kemenangan ke atas Harimau Malaya sepanjang pertembungan kedua-dua pasukan itu dan keputusan terbaik mereka hanya seri sekali pada tahun 1985.

Berita Harian X