Sabtu, 1 Jun 2019 | 7:24am
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp. - Foto EPA

Klopp enggan dilabel tak bertuah

MADRID: Jurgen Klopp menolak pandangan yang menyatakan beliau tidak bertuah selepas tewas dalam enam final kejohanan utama selaku pengurus dalam usahanya menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Liverpool musim ini.

Perlawanan menentang Tottenham Hotspur di final Liga Juara-Juara di Madrid, awal pagi esok adalah yang ketujuh buat pengendali dari Jerman itu sejak membimbing Borussia Dortmund memenangi Bundesliga dan Piala Jerman pada 2012.

Pada 2013, Dortmund tewas di final Liga Juara-Juara dan Piala Jerman untuk dua musim berikutnya.

Klopp kemudian tumbang di final Liga Europa dan Piala Liga pada musim sulungnya bersama Liverpool sebelum kalah di final Liga Juara-Juara musim lalu kepada Real Madrid.

“Sejak 2012, selain 2017, saya sentiasa membawa pasukan saya ke final, jadi kami berada di sana kadang kala menerusi tuah, tetapi kebanyakannya kerana kami berhak berada di sana,” kata Klopp.

“Ketika ini saya mungkin adalah pemegang rekod dunia, dalam tujuh tahun sekurang-kurangnya, menang di separuh akhir, tetapi jika saya menulis buku mengenainya mungkin tiada siapa mahu membelinya.”

Liverpool turut menamatkan kempen Liga Perdana musim ini di belakang Manchester City sekali pun hanya tewas satu perlawanan dan mengumpul 97 mata.

“Saya manusia biasa, dan jika saya duduk di bilik dan berfikir adakah ia mengenai saya, adakah saya punca, jika saya lihat diri saya sebagai orang yang tewas atau seperti itu, ia akan mendatangkan masalah. Tetapi saya tidak melihatnya seperti itu.

“Perkara yang sudah berlaku, bagi saya, saya masih memiliki keyakinan yang saya boleh mengatasinya, dan saya sentiasa melakukannya, jadi ia bagus.

“Kini saya memahami tuah, jika kamu tidak berusaha, kamu akan mendapatkannya dari masa ke masa, bukan selalu, tetapi berbeza dengan itu, ia bukan karier yang tidak bertuah dan ia tidak pernah berakhir, saya masih mempunyai beberapa tahun lagi!”

Liverpool tewas 3-1 kepada Real di Kiev tahun lalu tetapi Klopp pantas menyatakan pasukannya jauh berbeza pada musim ini dengan kehadiran penjaga gol, Alisson Becker, Fabinho, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri dengan Virgin van Dijk mengharungi musim penuh pertamanya sejak tiba tahun lalu.

“Kami lebih matang, kami adalah pasukan yang berbeza, kami lebih tua. Usia adalah perkara yang bagus, menjadi tua, adalah sesuatu yang bagus. Kami setahun lebih tua, pemain seperti Trent (Alexander-Arnold) kini sudah mempunyai 50 perlawanan dan pengalaman dalam bola sepak.” - AFP

 

 

Berita Harian X