Jumaat, 31 Mei 2019 | 12:32pm
JAN Vertonghen.

'Musim paling gila buat Spurs'

LONDON: Jan Vertonghen menggesa Tottenham untuk menamatkan musim yang ‘gila’ dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino akan mengharungi perlawanan final pertama mereka di Liga Juara-Juara menentang Liverpool, awal pagi Ahad ini di Madrid selepas menempuh perjalanan hebat dalam kejohanan elit Eropah itu.

Kelab dari London itu hanya mengutip satu mata daripada tiga perlawanan awal peringkat kumpulan sebelum mara ke peringkat kalah mati susulan keputusan seri menentang Barcelona.

Selepas menyingkirkan Borussia Dortmund di peringkat 16 terbaik, Spurs mengatasi juara Inggeris, Manchester City di suku akhir sebelum mencipta kebangkitan hebat menewaskan Ajax di separuh akhir. 

Vertonghen berkata pengalaman Tottenham yang beberapa kali bangkit ketika berada di ambang penyingkiran membuatkan mereka lebih menghargai peluang berada di pentas akhir.

“Saya fikir semua pemain sudah biasa bermain di Liga Juara-Juara dan memainkan peranan mereka,” kata pemain kelahiran Belgium itu. “Ia adalah paling gila (musim) dan berada di penghujung kempen yang gila adalah sesuatu yang menakjubkan.

“Kami semua memainkan peranan kami dan berharap kami boleh menjulang trofi pada penghujung perlawanan. Di peringkat kumpulan, kami mungkin tewas perlawanan di tempat lawan kepada Inter, kami hanya dapat satu mata selepas tiga perlawanan.

“Perlawanan dengan Barca di tempat lawan, ada begitu banyak saya tidak mampu katakan tetapi ia gila. Jadi untuk bermain final Liga Juara-Juara adalah sesuatu yang perlu diraikan.”

Vertonghen juga percaya kejayaan Tottenham mara ke final adalah hasil kerja keras yang dilakukan pengurus, Pochettino yang tiba ke kelab utara London itu dari Southampton, lima tahun lalu.

“Dua tahun pertama saya di sini kami berada di Liga Europa, tetapi inilah yang kami usahakan,” kata pemain berusia 32 tahun itu yang sudah berada di Spurs sejak 2012. “Mungkin bagi orang luar, mereka tidak menjangkakan final Liga Juara-Juara, saya boleh memahaminya.

“Tetapi saya fikir kami memiliki barisan pemain yang hebat. Mereka memiliki kualiti yang mengagumkan dan bagi saya, ia tidak mengejutkan. Lima tahun lalu, beliau (Pochettino) memilih kelab ini dan membawa kami ke tahap kami berada sekarang. Beliau sudah melakukan kerja yang menakjubkan.” - AGENSI

Berita Harian X