Khamis, 30 Mei 2019 | 5:32pm
Jurulatih JDT, Benjamin Mora berjaya bimbing JDT kekal pasukan terbaik. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

JDT kekal pemain pertahan kejuaraan liga

JOHOR BAHRU: Selepas tempoh jendela perpindahan kedua berakhir semalam, kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) memilih untuk terus mengekalkan semua barisan pemainnya termasuk import bagi mengharungi baki saingan Liga Super musim ini.

Senario itu membuktikan betapa pengurusan kelab dan kejurulatihan pasukan itu berpuas hati dengan persembahan serta komitmen setiap pemain skuad Harimau Selatan yang kini mendahului carta liga dengan mengumpul 39 mata selepas 15 perlawanan.

Ternyata kelibat pemain import yang diperkuatkan oleh Hariss Harun, Leandro Velazquez, Mauricio Nascimento dan Gonzalo Cabrera menjadi watak utama apabila mereka memberi sumbangan terbaik dalam kempen liga elit domestik.

Malah barisan pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya terutama kelibat pemain muda seperti Safawi Rasid dan Afiq Fazail yang menunjukkan kematangan beraksi bukan sahaja di liga tempatan malah saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Bagi kelibat jurulatih Benjamin Mora yang pada awalnya dikritik hebat oleh penyokong JDT selepas dilantik membimbing skuad Harimau Selatan manakala Luciano Figueroa memegang jawatan pengurus pasukan, bagaikan menutup mulut pengkritik apabila mampu membimbng pasukan itu untuk berada di tangga teratas selain masih memegang rekod tanpa kalah.

Selepas memperkotak-katikkan Kedah dengan kemenangan 2-0 pada aksi terakhir, kini JDT perlu mengharungi baki tujuh perlawanan dengan tiga aksi di laman sendiri dan empat aksi di tempat lawan.

Pastinya tempoh rehat selama lebih dua minggu itu akan digunakan sepenuh untuk Figueroa dan Mora membentuk barisan lebih mantap bagi memburu kejuaraan liga keenam berturut-turut

Bagi Figueroa sendiri tampak bersikap mahu merendah diri dengan pencapaian skuad Harimau Selatan itu apabila lebih gemar menyatakan setiap perlawanan yang diharungi pasukan itu tanpa memperlekehkan pasukan yang berada di pertengahan dan bawahan liga.

"Kami sentiasa berdepan tugas sukar apabila menentang pasukan yang bersaing di liga, tanpa mengira pasukan itu di berada di posisi pertengahan atau bawahan liga. Kami anggap pasukan lawan mampu melakar kejutan kepada JDT jika kami turun dengan bersikap sambil lewa," kata Figueroa.

Apapun perancangan Figueroa dan Mora, sasaran utama pastinya mengekalkan kejuaraan liga.

1548 dibaca
Berita Harian X