Khamis, 30 Mei 2019 | 6:39am
EDEN Hazard bersama piala selepas Chelsea dinobatkan sebagai juara Liga Europa selepas menewaskan Arsenal 4-1 di Baku. - Foto AFP

Hadiah terakhir Hazard buat Chelsea?

BAKU: Eden Hazard meledak dua kali dan mengakui ia adalah hadiah terakhirnya apabila dua gol pemain Belgium itu menobatkan Chelsea sebagai juara Liga Europa selepas menewaskan Arsenal 4-1 di Baku.

Pada perlawanan di Stadium Olimpik Baku di Azerbaijan itu, babak pertama tamat tanpa jaringan tetapi sebaik babak kedua bermula, bekas penyerang Arsenal, Olivier Giroud memecah kebuntuan dengan menewaskan bekas penjaga gol Chelsea, Petr Cech pada minit ke-49.

Hazard kemudian membuat umpanan kepada Pedro Rodriguez untuk gol kedua Chelsea sebelum melebarkan jurang dengan dua gol jaringannya sendiri – termasuk penalti – yang diselangi dengan gol tunggal Arsenal menerusi pemain gantian Alex Iwobi.

Pemain Belgium itu dijangka meninggalkan Chelsea untuk Real Madrid selepas tujuh tahun di England, dan ia adalah cara terbaik untuk mengucapkan selamat tinggal.

PEMAIN Chelsea, Olivier Giroud, Eden Hazard, Cesar Azpilicueta dan rakan sepasukan meraikan kejayaan selepas menewaskan Arsenal 4-1 di Baku. - Foto Reuters

“Saya rasa ia adalah ucapan selamat tinggal, tetapi dalam bola sepak anda tidak dapat menjangkakannya,” kata pemain 28 tahun itu. “Impian saya adalah untuk bermain di Liga Perdana Inggeris dan saya sudah melakukannya bersama salah sebuah kelab terbesar, jadi mungkin sudah tiba masanya untuk cabaran baharu.”

Ia adalah kejuaraan Liga Europa kedua dirinya, dan Chelsea dalam dekad ini, manakala ia adalah trofi major pertama buat Maurizio Sarri sebagai pengendali.

Mereka akan kembali untuk Liga Juara-Juara musim depan, tetapi tidak buat Arsenal. Skuad kendalian Unai Emery perlu menang di Baku untuk layak, tetapi jelas Chelsea jauh lebih menyerlah di Baku.

Berita Harian X