Selasa, 28 Mei 2019 | 9:48pm
PENYERANG Tottenham, Harry Kane (tengah), Dele Alli (kanan) ketika sesi latihan menjelang final Liga Juara-Juara menentang Liverpool, Ahad ini. - Foto EPA

Kane puji perancangan besar Pochettino

LONDON: Kejayaan pada final Liga Juara-Juara berdepan Liverpool awal pagi Ahad ini akan menjadi kemuncak kepada pelan besar Mauricio Pochettino untuk Tottenham Hotspur, kata penyerang Harry Kane menjelang perlawanan terbesar dalam sejarah kelab dari London itu.

Pochettino mewarisi pasukan yang menamatkan kedudukan di tangga keenam Liga Perdana apabila dia beralih arah dari Southampton pada Mei 2014 untuk mengemudi Spurs yang sudah lama dibayangi pencabar dari London - Arsenal dan Chelsea.

Namun mendapat kekuatan daripada penyerang dididik sendiri, Kane, yang mendapat tempat sebenar di bawah kendalian Pochettino dan menamatkannya dengan menjadi penjaring terbanyak kelab setiap musim di bawah jurulatih dari Argentina itu, Spurs berjaya menjadi antara pasukan digeruni.

“Dia memang hebat,” kata Kane di pusat latihan Spurs.

“Sejak dia mengambil alih dia ada perancangan untuk menjadi pasukan terbaik Eropah dan kami kini tidak jauh daripada perlawanan terbesar Eropah dan sejarah buat kelab kami. Dia melakukan tugas yang menakjubkan, dia pengurus yang hebat.”

Spurs sudah memastikan empat kali kedudukan empat teratas Liga Perdana, berpindah ke satu daripada stadium terhebat dan kini hanya satu perlawanan sebelum boleh dimahkotakan selaku juara Eropah.

Bagi Kane, kebangitan Spurs semuanya kerana rakan sepasukan mengikut kepimpinan Pochettino. - Reuters

Berita Harian X