Selasa, 28 Mei 2019 | 5:11pm
PENYERANG dari Namibia, Lazarus Kaimbi bakal perkuat serangan Tok Gajah bagi menggantikan Jose Eduardo atau Ze Love yang ditamatkan kontrak lebih awal atas faktor kecederaan.

Tok Gajah mungkin pilih Kaimbi

 

KUANTAN: Bukan Forkey Doe, tetapi Lazarus Kaimbi menjadi pilihan skuad Tok Gajah bagi menguatkan jentera serangan menjelang tarikh akhir perpindahan kedua, esok.  

Difahamkan, penyerang dari Namibia itu menggantikan Jose Eduardo atau Ze Love yang ditamatkan kontrak lebih awal atas faktor kecederaan.  

Menurut sumber, sejak menjalani latihan bersama skuad Pahang minggu lalu, ketangkasan dan kemahiran ditunjukkan Kaimbi menarik minat Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP).  

"Difahamkan, urusan berkaitan kontrak pemain import itu sedang diteliti dan sekiranya kedua pihak mencapai persetujuan, Kaimbi akan menyertai skuad Pahang.  

"Dia menggantikan Eduardo yang terpaksa digugurkan atas faktor tertentu dan keputusan ini adalah bagi memastikan jentera serangan Pahang kembali menyengat.

"Bagaiamanapun, keputusan muktamad hanya akan dapat diketahui lewat petang esok," kata sumber itu.  

Selain Kaimbi, Doe dari Liberia yang juga bekas pemain Pahang musim lalu, turut menjalani latihan percubaan bersama skuad kendalian Dollah Salleh awal minggu lalu.  

Namun, tahap kecergasan dan faktor usia menyekat Doe kembali menyarung jersi Pahang.  

Berdasarkan rekod, Kaimbi, 31, pernah menyarung jersi skuad Kelantan musim lalu dan bakal bergandingan dengan Dickson Nwakaeme.  

Musim ini, Pahang menyenaraikan lima pemain import iaitu Nwakaeme dari Nigeria, Eduardo (Brazil), Herold Goulon (Perancis), Safuwan Baharudin (Singapura) dan Saddil Ramdani (Indonesia).

 

 

1981 dibaca
Berita Harian X