Selasa, 28 Mei 2019 | 9:38am
Eden Hazard. - Foto Reuters

Hazard idam hadiahkan Chelsea 'senyuman'

LONDON: Chelsea bimbang ia menjadi hadiah perpisahan, tetapi jika perlawanan final Liga Europa di Baku, Azerbaijan melawan Arsenal adalah aksi terakhir Eden Hazard bersama kelab itu, pemain Belgium itu mahu menamatkannya dengan nota gembira.

Selepas tujuh musim di Stamford Bridge, Hazard dijangka bersedia untuk menyertai Real Madrid pada perpindahan musim panas ini selepas kontraknya bersama Chelsea memasuki tahun terakhir.

“Saya hanya mahu memenangi trofi jika ia perlawanan terakhir saya,” kata Hazard mengenai potensi menjulang trofi keenamnya bersama Chelsea.

Hazard sudah pun mendedahkan kelab idaman yang juga destinasinya selepas ini dengan segala petunjuk terarah ke ibu negara Sepanyol, Madrid.

Begitupun, kedudukan Chelsea tambah rumit dengan penggantungan pembelian pemain baharu oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (EUFA) bagi dua musim selepas ini.

Sama ada menjual atau mengekalkan Hazard bergantung kepada rayuan kelab ke Mahkamah Timbang Tara Sukan yang akan menentukan sama ada mereka boleh mencari pengganti buat pemain berkenaan.

Tetapi mengekalkan Hazzard untuk tempoh 12 bulan lagi, ia mencetus risiko kerugian apabila tonggaknya itu boleh meninggalkan kelab itu secara percuma berbanding £100 juta (RM531.32 juta) harga yang ditawarkan untuknya ketika ini.

“Kami perlu bersedia jika dia mahu sesuatu yang berbeza,” kata pengurus Chelsea, Maurizio Sarri yang ironinya jodohnya bersama kelab itu mungkin berakhir selepas perlawanan di Baku.

Sekali pun mengharungi musim terumbang ambil di bawah kendalian Sarri, Chelsea sekurang-kurangnya mencapai objektif layak beraksi di Liga Juara-Jaura musim depan selepas menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ketiga hasil 16 gol dan 15 umpanan yang dijana Hazard.

Begitupun, pemain berusia 28 tahun itu berkata kejayaan tidak boleh diukur dengan statistik, tetapi trofi.

“Dari sudut gol dan umpanan, ya,” kata Hazard ketika ditanya sama ada ia adalah musim terbaiknya di England. “Tetapi bagi saya musim yang bagus bukan kerana saya menjaringkan 40 gol. Saya mahu memenangi sesuatu pada akhirnya. Saya tidak hanya melihat statistik.”

Di Chelsea, Hazard sudah menjulang dua gelaran Liga Perdana, Piala FA, Piala Liga dan Liga Europa begitupun prospek untuk bermain di bawah kendalian idolanya, Zinedine Zidane bersama juara 13 kali Eropah jelas terlalu sukar untuk ditolak. - AFP

Berita Harian X