Isnin, 27 Mei 2019 | 8:02am
OLE Gunnar Solskjaer menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Bayern Munich, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Solskjaer 'kembali meledak'

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer sekali lagi ‘menyeksa’ Bayern Munich apabila pengurus Manchester United itu meledak gol pada perlawanan amal membabitkan skuad juara treble 1999, awal pagi tadi.

Selepas 20 tahun Solskjaer menjaringkan gol di saat-saat akhir bagi membantu skuad kendalian Sir Alex Ferguson menewaskan Bayern di final Liga Juara-Juara, bekas penyerang berbisa itu kembali menyertai rakan sepasukannya pada aksi yang berlangsung di Old Trafford.

Solskjaer yang bermula di bangku simpanan, seperti yang berlaku di Nou Camp tidak menunggu masa lama untuk meledak gol pembukaan selepas dimasukkan bagi menggantikan Andy Cole.

Dengan Ferguson turut berdiri sebagai pengurus pasukan, ia jelas hari yang menggembirakan di Old Trafford apabila United menang 5-0 selepas mengharungi kempen mengecewakan musim ini.

Ini kali pertama Ferguson, 77, menguruskan United sejak persaraan pada 2013.

Pembantunya ialah bekas jurulatih England, Steve McClaren, yang juga pembantunya 20 tahun lalu.


OLE Gunnar Solskjaer meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Bayern Munich di Old Trafford, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Perlawanan amal itu, yang dianjurkan bagi Yayasan Manchester United turut menyaksikan Ferguson kembali ke padang selepas mengharungi pembedahan besar akibat pendarahan otak, tahun lalu.

Seperti 1999, pemain tengah England, David Beckham menonjolkan kemampuannya melakukan hantaran, Jaap Stam tidak menunjukkan sebarang belas kasihan di bahagian pertahanan dan Paul Scholes mengetuai bahagian tengah.

Mereka berdepan skuad penuh bintang Bayern yang turut disertai Lothar Matthaus, Stefan Effenberg, Sammy Kuffour dan Carsten Jancker yang turut disenaraikan dalam kesebelasan utama 1999, selain bekas pertahanan Manchester City, Martin Demichelis. 

Selepas Solskjaer membuka tirai jaringan, Dwight Yorke meledak gol kedua United dengan gol ketiga dijaringkan Nicky Butt sebelum bekas penyerang, Louis Saha, yang menjadi antara pemain yang tidak berada dalam skuad treble meledak gol keempat pada minit ke-85.

Beckham yang menerima tepukan paling gemuruh daripada lebih 60,000 peminat yang hadir melengkapkan gol kelima pasukannya seminit sebelum perlawanan berakhir dan meraikan jaringannya dengan penuh bergaya. 

Pada 1999, United memenangi tiga gelaran Liga Perdana, Piala FA dan Liga Juara-Juara sekali gus menjadi satu-satunya pasukan Inggeris memenangi gelaran treble semusim. - AFP


OLE Gunnar Solskjaer. - Foto Reuters

3305 dibaca
Berita Harian X