Ahad, 26 Mei 2019 | 2:22pm
Kapten Liverpool, Jordan Henderson.

Liverpool perlu tiru City - Henderson

LONDON: Kapten Liverpool, Jordan Henderson mahu Reds mengikuti jejak Manchester City dan mula memenangi beberapa trofi setiap musim.

Liverpool berpeluang menjulang trofi musim ini apabila dijadual bertemu Tottenham pada final Liga Juara-Juara, 2 Jun ini di Madrid dengan kali terakhir pasukan itu memenangi gelaran adalah pada 2012.

City merangkul gelaran treble pada musim ini iaitu Liga Perdana, Piala Liga dan Piala FA selepas menjulang dua gelaran pada musim sebelum ini.

Justeru, Henderson yang turut bermain ketika Liverpool tewas di final Liga Juara-Juara musim lalu bertekad tinggi untuk melihat skuad kendalian Jurgen Klopp itu meraih kejayaan yang serupa.

“City memenangi tiga trofi pada tahun ini, dan itulah yang kami mahu berada,” kata Henderson. “Kami tidak mahu bersaing untuk satu gelaran atau piala, kami mahu memenangi lebih daripada itu setiap tahun.

“Jika kamu melihat City, mereka tidak berhenti selepas memenangi satu trofi, mereka menjulang dua atau tiga semusim, ia adalah sesuatu yang kelab patut lakukan, itulah sasarannya.”

City menafikan peluang Liverpool untuk merangkul gelaran Liga Perdana musim ini sekali pun skuad kendalian Klopp mengumpul 97 mata.

Tetapi Henderson berkata rakan sepasukannya sudah melupakan keperitan itu dan berharap untuk muncul pemenang di pentas Eropah pada aksi di Wanda Metropolitano, Sepanyol.

“Kami tidak boleh mengubah apa yang sudah berlaku di Liga Perdana, tetapi kami boleh mengubah apa yang kami buat di final,” katanya. “Saya fikir kami semua kecewa selama beberapa hari, tetapi bola sepak berubah dengan pantas termasuk fokus kamu.

“Dan tiada apa yang lebih baik untuk kami meletakkan fokus kepada final Liga Juara-Juara. Ia jelas peluang yang besar untuk kami, dan kamu benar-benar mahu menamatkan musim ini dengan trofi. 

“Jika ia tidak berlaku, ia pasti sukar untuk diterima tetapi pada masa sama, kami masih boleh memandang ke depan untuk mencabar pada musim seterusnya.” - AGENSI

Berita Harian X