Ahad, 26 Mei 2019 | 11:30am
Sergio Ramos. - Foto AFP

Liverpool sedia lamar Ramos

MADRID: Liverpool dilaporkan berminat membawa kapten Real Madrid, Sergio Ramos ke Anfield musim panas ini, lapor media Sepanyol, pagi ini.

Ramos dikatakan bakal meninggalkan Madrid susulan aksi hambar mereka sehingga mencetus ketegangan dengan pihak pengurusan terutama selepas disingkirkan Ajax dalam peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara musim ini.

Bintang berusia 33 tahun itu kini dikaitkan dengan skuad bimbingan Jurgen Klopp dan spekulasi itu kian hangat diperkatakan.

Ramos amat diingati oleh peminat di Merseyside susulan tindakan kasarnya ke atas Mohamed Salah sehingga pemain Liverpool itu cedera di bahu dan diusung keluar ketika final Liga Juara-Juara musim lalu.

Susulan itu, Ramos kemudian dilihat bertekak dengan pertahanan The Reds, Dejan Lovren dan hubungan tegang mereka berdua berlarutan beberapa bulan dengan perang mulut di media sosial berterusan hingga kemuncaknya menyaksikan bintang Croatia itu digantung satu perlawanan.

Namun begitu, akhbar Sepanyol, AS melaporkan Liverpool sedia mendapatkan khdmat Ramos jika dia berhasrat meninggalkan Madrid.

AS dalam laporannya juga mengaitkan kesediaan Liverpool menggandingkan Ramos bersama Virgil van Dijk. 

Namun, kontrak Ramos ada meletakkan klausa pelepasan sebanyak £800 juta (RM4.2 bilion) yang bermakna pemergiannya perlu dipersetujui secara bersama oleh Ramos sendiri dan kelab.

Sejurus selepas disingkirkan Ajax bulan lalu, Ramos dilaporkan terpaksa campur tangan mempertahankan rakan sepasukan selepas Presiden Real, Florentino Perez mengamuk di bilik persalinan dan seterusnya berlaku pertikaman lidah antara kedua-duanya. – Agensi 

 

1425 dibaca
Berita Harian X