Ahad, 26 Mei 2019 | 8:34am
PENGURUS Spurs, Mauricio Pochettino. - Foto Reuters

Jangan terlalu harap kehadiran Bale - Pochettino

LONDON: Pengurus Spurs, Mauricio Pochettino meredakan spekulasi yang mengaitkan kepulangan semula Gareth Bale ke Tottenham dari Real Madrid.

Masa depan bintang skuad kebangsaan Wales itu di Sepanyol terus menjadi persoalan selepas dia disisihkan pengurus, Zinedine Zidane yang dijangka akan menyambar beberapa pemain baharu, musim panas depan.

Antara pemain yang kuat dikaitkan dengan Galaticos ialah bintang Chelsea, Eden Hazard sekali gus membuka jalan untuk Bale meninggalkan Santiago Bernabeu.

Perpindahan buat pemain berusia 29 tahun itu tampak logik dengan kepulangan semula ke Liga Perdana menjadi pilihan tetapi difahamkan, Real tidak berminat untuk menjualnya tetapi meletakkannya sebagai pinjaman.

Spurs dan Manchester United sering dikaitkan dengan Bale tetapi Pochettino enggan terjerumus dalam perdebatan itu selain enggan mendedahkan perancangannya bagi mendapatkan pemain baharu.

“Dia pemain Real Madrid. Tetapi kami mempunyai hubungan yang bagus. Kami bermain menentangnya pada tahun lalu. Saya mendapat rujukan yang baik mengenainya,” kata Pochettino.

“Semua orang mempunyai memori yang baik dengannya, seperti yang mereka miliki di Southampton. Dia masih mempunyai kontrak selama tiga tahun di Madrid. Ia situasi yang sukar buatnya dan ia juga tidak mudah bagi kelab.”

Beberapa ‘orang kuat’ Tottenham berharap mengenai kepulangan semula Bale ke kelab itu antaranya bekas pengurus, Harry Redknapp yang percaya kehadirannya akan menambah kekuatan skuad Pochettino.

Tottenham berpeluang untuk menamatkan kempen musim ini dengan trofi apabila dijadual menentang Liverpool pada final Liga Juara-Juara, 2 Jun ini. – AGENSI

Berita Harian X