Sabtu, 25 Mei 2019 | 2:02pm
EDEN Hazard

Hazard beri Chelsea 7 hari

LONDON: Eden Hazard dilaporkan mahu perpindahannya ke Real Madrid dilengkapkan kurang seminggu selepas perlawanan final Liga Europa melawan Arsenal.

Pertembungan final saingan kedua elit Eropah itu dijadual di Baku, Azerbaijan pada 29 Mei ini.

Jodoh Hazard di Stamford Bridge selama tujuh musim hampir menemui noktah pada penghujung musim panas ini selepas bintang Belgium itu berhasrat untuk memburu cabaran baharu di Sepanyol.

Pemain berusia 28 tahun itu begitupun fokus sepenuhnya bagai aksi final menentang Gunners dengan kemenangan di Liga Europa meningkatkan jumlah trofi yang dimenanginya di Chelsea kepada lima.

Begitupun selepas perlawanan di Stadium Olimpik Baku, tumpuan Hazard beralih ke Madrid, pasukan yang disifatkannya sebagai ini ‘impian’.

Menurut laporan media Britain, pemain itu memberikan tempoh selama tujuh hari selepas perlawanan final untuk perpindahannya ke Bernabeu dimuktamadkan.

Tetapi harapannya untuk melalui perpindahan yang ‘tenang’ begitupun boleh direncatkan dengan perbezaan penilaian membabitkan kedua-dua pasukan berkenaan.

Difahamkan, Chelsea meminta yuran perpindahan  £112 juta (RM596.38 juta) manakala Real ketika ini dikatakan hanya menawarkan £86 juta (RM457.94 juta).

Selepas aksi final, Hazard dijadual menyertai pasukan kebangsaan sekitar 4 Jun dengan Belgium dijadual bertemu Kazakhstan pada 8 Jun sebelum melawan Scotland pada 11 Jun. - AGENSI

Berita Harian X