Jumaat, 24 Mei 2019 | 1:06pm
FAIZ Nasir

Selangor tagih kudrat Faiz malam ini

KUALA LUMPUR: Aura Faiz Nasir sekali lagi ditagih Selangor untuk menjinakkan bekas pasukannya, Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Pada aksi pusingan pertama Liga Super di Stadium Shah Alam, 29 Mac lalu, Faiz mengecewakan skuad Penyu apabila jaringan tunggalkan di babak kedua berjaya membantu Selangor meraih kemenangan 1-0.

Jurulatih Selangor, B Sathianathan berharap pengalaman 'Messi Ganu' beraksi bersama TFC dan di gelanggang keramat skuad Penyu pada 2017 hingga 2018 sekali lagi memberi keputusan yang positif buat Red Giants.

Katanya, Faiz yang sebelum ini berdepan masalah kecederaan akan kembali bersama pasukan dan bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Syahmi Safari.

"Faiz akan ambil tempat Syahmi yang mengalami kecederaan. Saya harap dia (Faiz) boleh tampil dengan satu permainan yang baik, sebab itu dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan.

"Dia boleh jadi kunci kemenangan, tapi bukan senang kerana mereka (TFC) memiliki pemain yang bagus seperti Lee Tuck, Sanjar Shaakhmedov dan Kipre Tchetche. Jadi kami kena berhati-hati.

"Beraksi di Kuala Terengganu juga bukan senang. Walaupun mereka kalah 5-3 kepada PJ City, tapi mereka mencatat keputusan yang baik berdasarkan rekod sebelum ini," katanya kepada BH Sukan.

Selangor sedang berusaha untuk memintas Kedah di kedudukan kedua liga dengan kedua-dua pasukan itu berkongsi 22 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.

Namun, Terengganu yang berada di tangga kelapan masih berpeluang menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik musim ini selepas hanya dibezakan lima mata daripada Selangor dan Kedah.

789 dibaca
Berita Harian X