Khamis, 23 Mei 2019 | 11:52pm
PENGENDALI skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe. NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Cheng Hoe harap tiada berita buruk

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe berharap aksi terkahir Liga Malaysia (Liga M) di bulan Ramadan minggu ini tidak memberi berita buruk buat Harimau Malaya.

Paling membimbangkan Cheng Hoe ketika ini sudah pasti risiko 26 pemain yang dipanggil menyertai latihan pusat bermula Isnin ini ditimpa kecederaan.

Harimau Malaya perlu mempersiapkan diri pada tahap terbaik untuk mengharungi aksi penting kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 berdepan Timor Leste di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 7 dan 11 Jun ini. 

Setakat ini dua pemain termasuk penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dan pemain Selangor, Syahmi Safari dilaporkan cedera.

Bagaimanapun kecederaan Hafizul agak serius hingga memaksa Cheng Hoe menggugurkannya dan diganti dengan penjaga gol PKNS FC, Zarif Irfan Hashimuddin. 

"Memang saya sangat berharap tiada lagi pemain yang cedera selepas aksi terakhir minggu ini," kata Cheng Hoe yang turut menjelaskan Syahmi sempat pulih daripada kecederaan.

"Kita nak lihat mereka beraksi pada tahap terbaik dalam perlawanan liga supaya momentum itu dapat diteruskan bersama skuad kebangsaan. Tapi pada masa yang sama kita juga bimbang mereka mengalami kecederaan."

Pada 16 Mei lalu, Cheng Hoe mengumumkan senarai 26 pemain dengan mengekalkan 14 daripada 25 pemain yang dipanggil pada kempen Piala Airmarine, Mac lalu selain turut diperkuatkan dengan enam tonggak bawah 23 (B-23) tahun.

Sebelum berdepan Timor Leste, Harimau Malaya terlebih dahulu akan diuji Nepal pada aksi persahabatan pada 2 Jun ini, juga akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. 

Selain itu, Cheng Hoe turut menuntut semua pemain untuk tidak terlalu memikirkan mengenai cuti Aidilfitri, sebaliknya memberi fokus kepada tugas penting menewaskan Timor Leste.

Berita Harian X