Rabu, 22 Mei 2019 | 10:55pm
BINTANG Manchester United, Paul Pogba (kiri) dan pemain Chelsea, Eden Hazard.

'Pogba, Hazard dialu-alukan di Real'

LONDON: Pertahanan Real Madrid, Raphael Varane meluahkan kelegaan jika dua bintang Paul Pogba dan Eden Hazard menyertai gergasi Galaticos pada musim panas ini.

Varane baru-baru ini mengesahkan komitmennya bersama Real yang dilihat bersedia untuk meningkatkan kekuatan pasukan pada musim panas ini selepas mengharungi kempen mengecewakan di pentas domestik dan Eropah.

Bintang tengah Manchester United, Pogba dan tonggak Chelsea, Hazard berada dalam radar pasukan itu dan Varane percaya kedua-duanya amat sesuai untuk skuad kendalian Zinedine Zidane.

“Saya tidak boleh dedahkan apa yang saya cakapkan dengannya (Pogba) tetapi mana-mana pemain hebat mempunyai tempat di Real dan dia adalah salah seorang daripadanya,” kata Varane mengenai rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Perancis itu.

“Ada banyak persaingan di Real. Kemungkinannya ada, ada begitu banyak khabar angin dan kita akan lihat pada Ogos nanti di mana dia akan berada.”

Bintang Belgium, Hazard juga dijangka akan mengubah angin dari Liga Perdana ke La Liga selepas membuat pendedahan menyertai Real sebagai mimpi jadi kenyataan.

Varane mengenali Hazard ketika kedua-duanya bermain di Ligue 1 Perancis.

“Saya mengenalinya sejak saya bermain di Lens. Dia adalah pemain terbaik dan seperti saya katakan mengenai Pogba, dia juga sesuai bermain di Real. Dia berada di prestasi terbaik kariernya ketika ini dengan usia dan kualiti yang dimilikinya. 

“Ketika kami (Perancis) berdepan (Belgium) di separuh akhir Piala Dunia (2018 Russia), kami tahu yang kami memerlukan perancangan yang istimewa untuk menghalangnya.” - AGENSI

1322 dibaca
Berita Harian X