Selasa, 21 Mei 2019 | 7:45am
EDEN Hazard. - Foto AFP

Chelsea sedia jual Hazard kepada Real Madrid

LONDON: Chelsea sedia menjual Eden Hazard kepada Real Madrid musim panas ini meskipun kelab itu berdepan sekatan perpindahan susulan melanggar peraturan kewangan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).

Hazard yang masih mempunyai baki kontrak setahun, dilaporkan menyatakan hasrat meninggalkan Stamford Bridge sebaik tamat final menentang Arsenal di Liga Europa selepas tujuh tahun bersama dan akan menyertai Madrid.

Chelsea meletak harga £87 juta (RM479 juta) ke atas pemain berusia 28 tahun itu selepas dibeli pada harga £32 juta (RM176 juta) dari Lille pada 2012.

Bagaimanapun langkah menjual Hazard musim depan perlu dilakukan dengan cermat dan tidak melanggar peraturan kewangan (FFP) UEFA.

Ini kerana sejak 12 bulan lalu, Chelsea sudah membelanjakan lebih RM1 bilion apabila membeli Jorginho pada harga £56 juta (RM308 juta), Kepa Arrizabalaga sebanyak £74 juta (RM 407 juta) dan Christian Pulisic dengan bayaran £57 juta (RM314 juta).

Selain itu, The Blues juga membayar sejumlah yuran untuk meminjam Gonzalo Higuain, yang bakal kembali ke Juventus hujung musim ini.

Dalam pada itu, Chelsea dilaporkan akan mendapatkan Mateo Kovacic yang dipinjam dari Real dan yakin langkah berkenaan akan lulus sekatan perpindahan UEFA.

Pulisic, yang berperanan sama di posisi Hazard, ditandatangani dari Borussia Dortmund Januari lalu dan ketika ini dia kembali ke Jerman untuk menamatkan musim Bundesliga yang bakal menutup tirai Ahad ini. – Agensi 

 

1453 dibaca
Berita Harian X