Isnin, 20 Mei 2019 | 7:59am
PEMAIN Napoli meraikan kemenangan selepas menewaskan Inter Milan dalam saingan Liga Itali, awal pagi tadi. - Foto EPA

Napoli sentap harapan Inter

NAPLES: Hasrat Inter Milan untuk layak ke Liga Juara-Juara kini terancam apabilla diaibkan 4-1 oleh Napoli dalam saingan Liga Itali, awal pagi tadi.

Inter, yang memerlukan kemenangan bagi menjamin slot itu, tercicir mata dan perlu menang perlawanan terakhir mereka menentang Empoli di gelanggang sendiri bagi menjamin layak ke aksi Liga Juara-Juara.

Fabian Ruiz muncul wira Napoli dengan menyumbat dua gol selepas Piotr Zielinski dan Dries Mertens membuka jaringan pada babak pertama manakala gol sagu hati pelawat hadir menerusi jaringan penalti Icardi pada lewat babak kedua.

Dengan baki satu perlawanan, Inter kini tercicir ke tangga keempat dengan 66 mata di belakang Atalanta, yang seri 1-1 menentang Juventus manakala AC Milan menang 2-0 ke atas Frosinone.


PEMAIN pertahanan Napoli, Faouzi Ghoulam dan pemain tengah Inter Milan, Ivan Perisic ketika saingan Liga Itali, awal pagi tadi. - Foto EPA

"Kami perlu berterus terang. Ini adalah persembahan terburuk kami tetapi tiket ke Liga Juara-Juara dalam tangan,” kata Luciano Spalletti.

"Tiada yang pelik kalah di tangan Napoli, tetapi bukan dengan cara begini. Perlawanan terakhir nanti adalah persembahan final.

"Kami bermula baik tetapi kami melakukan beberapa kesilapan ketika melakukan serangan yang membolehkan mereka mendapatkan satu gol dan selepas itu semua hantaran kita mula lintang pukang.”

Zielinski menjaringkan gol sulung Napoli menerusi ledakan kencang minit ke-16 dan Mertens menanduk masuk hantaran silang pemain Belgium, Jose Callejon pada minit ke-61 yang juga gol peribadi ke-15 musim ini.

Icardi menjaringkan penalti pada minit ke-81 namun terlalu lewat membantu skuad bimbingan Spalletti mengubah keadaan. – Reuters

Berita Harian X