Ahad, 19 Mei 2019 | 1:28pm
KETUA Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan. - NSTP/Rasul Azli Samad

Zainal kecewa kesilapan benteng

ALOR SETAR: Ketua Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan kecewa dua kesilapan benteng pertahanan menyebabkan skuadnya gagal membawa pulang sebarang mata dari Stadium Darul Aman malam tadi.

Menurut pengendali berpengalaman berusia 56 tahun itu, walaupun banyak bertahan di separuh masa  pertama, skuadnya tidak memberi ruang buat Kedah bergerak dan lebih disiplin sehingga dapat menghasilkan gol pendahuluan pada babak pertama.

"Pada babak kedua ada kelonggaran sedikit dengan dua kesilapan dilakukan termasuk bola gagal dikeluarkan sehingga masuk ke gol sendiri dan akhirnya menghukum kami dengan jaringan lawan.

"Dua kesilapan dilakukan itu sepatutnya tidak boleh berlaku pada  perlawanan kali ini kerana kami perlu lebih kemas terutama apabila bermain di tempat lawan.

"Saya kecewa atas kesilapan ini kerana kami mendahului di babak pertama dan sebelum ini saya sudah mengingatkan pemain supaya lebih fokus ketika menentang pasukan kuat seperti Kedah," katanya.

Zainal mengakui Melaka turun dengan kemampuan berbeza berbanding ketika berdepan FELDA United dengan memperolehi kemenangan besar 6-0 pada aksi Rabu lalu. 

"Jika dibandingkan dengan perlawanan bertemu FELDA United sebelum ini, ada perbezaan kerana tiga pemain tidak dapat beraksi disebabkan kecederaan dan penggantungan.

"Selepas ini kita akan berhadapan Perak dan saya harap semua pemain dapat kembali mengukuhkan pasukan  dan saya jangkakan kita akan susun dengan lebih baik untuk perlawanan akan datang,” katanya.

1008 dibaca
Berita Harian X