Ahad, 19 Mei 2019 | 1:19pm
AKSI pemain import Kedah, Fernando Rodriguez Ortega (kanan) ketika menentang Melaka United pada saingan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam tadi. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kemenangan atasi Melaka penawar buat Kedah

ALOR SETAR: Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak menganggap tiga mata diraih skuadnya selepas menang 2-1 dalam aksi Liga Super ke atas Melaka United di Stadium Darul Aman menjadi penawar buat Kedah yang gagal mengutip mata ketika berdepan kepada Selangor minggu lalu. 

"Saya bangga dengan kesungguhan ditunjukkan pemain yang berjaya bangkit dengan kemenangan dan saya bersyukur dapat keputusan dimahukan kerana saya anggap ini bukan perkara mudah, tambahan beraksi pada Ramadan dan menempuh perjalanan balik dari Selangor pada Rabu lalu.

"Babak pertama perlawanan kami menguasai permainan, namun melakukan kesilapan yang sama seperti aksi di Melaka sebelum ini dengan bola 'set piece' menyebabkan kami bolos.

“Selapas ketinggalan kami berjaya bangkit dengan kekuatan serta semangat berpasukan, kami berjaya menghasilkan dua gol selepas ketinggalan,” katanya.

Aidil mengakui, walaupun skuadnya dapat mengawal permainan pada 15 minit awal, namun mereka tidak dapat mempamerkan taring sebenar kerana Melaka menyusun rapat pemainnya di bahagian tengah. 

Aidil juga mahu aspek ketajaman menjaringkan gol terus dipertingkatkan dalam usaha menempuh banyak lagi perlawanan selepas ini. 

"Jika kami mampu pertingkatkan jumlah jaringan, pasti kami boleh pergi lebih jauh dan tak mustahil mampu layak hingga ke peringkat Liga Juara Juara, tetapi itulah bola sepak kerana kadangkala mereka mencuba dengan sebaik mungkin namun bola gagal menerjah jaring,” katanya.

Aidil turut berpuas hati walaupun beberapa pemain masih mengalami kecederaan, namun mereka berjaya menunjukkan aksi baik seperti dirancang.

"Tempoh lapan hari yang ada ini akan digunakan sebaiknya untuk melakukan persiapan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 26 Mei ini di Stadium Larkin," katanya. 

558 dibaca
Berita Harian X