Ahad, 19 Mei 2019 | 1:10pm
JURULATIH Bayern Munich, Niko Kovac menegaskan dia masih akan mengendalikan kelab berkenaan musim depan. - Foto AFP

Kovac sudah selamat

BERLIN: Jurulatih Bayern Munich, Niko Kovac menegaskan dia masih akan mengendalikan kelab berkenaan musim depan selepas mengesahkan gelaran Bundesliga dengan kemenangan 5-1 mengatasi kelab lamanya, Eintracht Frankfurt malam tadi.

Kovac berdepan tekanan tambahan kebelakangan ini dan laporan awal minggu ini menggambarkan dia akan ditunjukkan pintu keluar walaupun menang liga dan dua kejuaraan domestik bulan ini.

Bayern segera menafikan khabar angin itu dan Kovac menegaskan dia masih kekal bersama tugasnya.

“Saya yakin bahawa saya akan meneruskannya,” katanya kepada Sky selepas meraikan kejayaan Bayern.

Ditanya mengenai laporan berkenaan, katanya dia “ada maklumat secara terus yang lain”, yang menjelaskan bahawa dia diberikan jaminan oleh pengurusan tertinggi Bayern.

Penyokong Bayern menjerit nama Kovac ketika masa semakin hampir untuk mereka memenangi gelaran.

“Ia menyentuh hati saya, kerana saya manusia juga,” kata Kovac. “Saya mahu berterima kasih kepada semua penyokong.” - AFP

498 dibaca
Berita Harian X