Ahad, 19 Mei 2019 | 12:29pm
PEMAIN FELDA United FC, Muhammad Zahril Azri Zabri (kanan) diasak pemain TFC, Chanthacheary Bin pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak malam tadi. - Foto BERNAMA

Nidzam puji, Nafuzi puas hati

 

KUANTAN: Pengendali FELDA United FC, Mohd Nidzam Jamil tetap memuji anak buahnya biarpun seri 1-1 berdepan Terengganu FC (TFC), malam tadi.  

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, satu mata diraih itu lebih baik daripada terlepas mata ketika The Fighters berusaha keluar dari zon penyingkiran. 

"Dengan keputusan diraih malam ini (tadi), kami perlu segera keluar dari zon penyingkiran dengan baki lapan perlawanan yang ada.  

"Secara keseluruhannya, saya berbangga walaupun ketinggalan 1-0, pemain tidak berputus asa dan berjaya bangkit menyamakan kedudukan 1-1.  

"Berada di dasar liga memberi tekanan kepada pasukan tetapi pemain mempamer peningkatan untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata," katanya.  

Sementara itu, pemangku ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain berpuas hati dengan komitmen pemainnya yang dilihat mempamer peningkatan.  

Katanya, kekalahan dua perlawanan berturut-turut 0-4 kepada Pahang dan PJ City FC (3-5) sudah diatasi untuk kembali fokus dalam saingan liga.  

"Perlawanan malam ini, kami lebih menguasai padang dan turut mempunyai beberapa peluang menambah jaringan.  

"Namun, jentera pertahanan tuan rumah lebih kental dan sedikit kealpaan menyebabkan gawang TFC dibolosi di penghujung perlawanan," katanya.

 

Pada perlawanan itu, gol TFC dijaringkan oleh Nabil Ahmad Latpi pada minit ke-83 manakala FELDA United menyamakan kedudukan 1-1 menerusi Kei Ikeda pada minit ke-88.

552 dibaca
Berita Harian X