Ahad, 19 Mei 2019 | 11:29am
PEMANGKU Presiden FELCRA FC, Datuk Hazian Murad (kanan) bersama Presiden Kelab Bola Sepak Petaling Putra, Datuk Ramlan Askolani dan Presiden VIFC, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah ketika sidang media mengenai kegagalan KLFA mengadakan Kongress ke-31 di Sime Darby Convention Centre. - NSTP/Intan Nur Elliana Zakaria

KLFA dituntut adakan segera Kongres

KUALA LUMPUR: “Kenapa Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) takut untuk mengadakan Kongres ke-31?”

Itu persoalan ditimbulkan Pemangku Presiden FELCRA FC yang juga ahli gabungan KLFA, Datuk Hazian Murad selepas melihat pengurusan sedia ada KLFA seakan takut dengan bayang bayang sendiri dan cuba berlengah daripada mengadakan kongres seperti dituntut Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS).

“Apa yang KLFA nak takutkan? Kalau rasa mereka juga ada sokongan, kita lawan balik secara ‘gentlemen’ dan siapa yang menang, itu yang akan kita sokong.

“Ahli kelab gabungan tahu siapa yang layak yang dipilih dan bukan setakat yang pandai bercakap sahaja. Bukan kita mahu jadi haluan kiri tetapi kami tuntut pertandingan secara adil dan teruskan kongres seperti diarahkan.

“Pengurusan sedia ada juga tampak mementingkan diri kena sanggup membuatkan KLFA digantung daripada meneruskan kongres,” katanya pada sidang media di Bukit Kiara, semalam.

Sementara itu, Presiden Kelab Petaling Putera yang juga bekas pemain Kuala Lumpur, Datuk Rahman Askolani menyifatkan kegagalan KLFA menganjurkan Kongres ke-31 mengikut tarikh ditetapkan membuktikan kelemahan pengurusan mereka.

“Pelbagai kelemahan dikenalpasti yang mengakibatkan hasil mengecewakan kepada ahli gabungan KLFA dan kami melihat mereka seperti mengabaikan suara dan hak ahli kelab gabungan.

“Kami juga hairan dengan cara pengurusan mengendalikan isu ini di mana pada jam 11 pagi 8 Mei, KLFA menghantar notis kongres ke-31 akan diadakan pada 15 Jun namun dua jam kemudiannya, mereka menghantar notis pembatalan.

“Lebih menimbulkan pertanyaan apabila notis kongres yang dihantar menyatakan pemilihan jawatankuasa bagi sesi 2018-2022 ditangguhkan dan ini menjadi tanda soal dan begitu mencurigakan,” katanya.

Terdahulu, PJS mengarahkan persatuan terbabit mengadakan kongres yang sepatutnya berlangsung November lalu sebelum atau pada 31 Mei dan kegagalan berbuat demikian memungkinkan mereka berdepan pembatalan pendaftaran oleh PJS.

Namun, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan pihaknya merancang untuk melangsungkan kongres pemilihan barisan kepimpinan baharu pada penghujung tahun ini.

191 dibaca
Berita Harian X