Ahad, 19 Mei 2019 | 11:26am
AKSI pemain FELDA United FC, Abdul Azim Rahim (kanan) diasak pemain tengah TFC, Lee Tuck pada saingan Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak malam tadi. - Foto BERNAMA

TFC, FELDA United nafi unsur rasuah

 

KUALA LUMPUR: Terengganu FC (TFC) dan FELDA United FC menafikan dakwaan ada unsur rasuah ketika kedua-dua pasukan itu tewas dengan jaringan besar pada aksi Liga Super minggu lalu.

Dakwaan itu dipercayai muncul selepas segelintir pihak dilihat tidak boleh menerima kenyataan TFC tewas 3-5 kepada pendatang baharu PJ City di laman sendiri, apatah lagi selepas mendahului 3-0.

Sementara itu, kekalahan besar 6-0 FELDA United kepada Melaka United turut dipalit dakwaan sama dengan mengambil kira keupayaan The Fighters yang berjaya menempatkan diri di separuh akhir Piala FA.

Namun, Setiausaha Agung FELDA United, Afizal Abu Othman menegaskan pasukannya tewas dengan jaringan besar kerana ketiadaan ramai pemain utama dan bukannya sebab rasuah atau faktor lain.

Beliau berkata, gaji dan bonus pemain musim ini dibayar tepat pada masanya, sekali gus turut menolak kemungkinan ada protes daripada pemain The Fighters sendiri pada aksi berdepan skuad Hang Tuah itu.

"Sama seperti apa yang jurulatih katakan selepas perlawanan yang mana kami menurunkan ramai pemain muda yang datang daripada program pembangunan sebelum ini iaitu skuad Piala Belia dan Piala Presiden.

"Memang tiada langsung (unsur rasuah), tak terdetik pun kami nak fikir pasal benda itu. Kami cuma berdepan masalah kecederaan pemain utama," katanya kepada BH Sukan, semalam.

"Kebetulan pula masa itu Melaka beraksi sangat bagus, semua peluang yang mereka dapat disempurnakan dengan jaringan. Kita juga tak boleh nak bandingkan aksi liga dengan Piala FA kerana persaingannya berbeza."

Terengganu pula dilihat berdepan situasi lebih parah apabila kekalahan kepada PJ City itu menjadi punca ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim bertindak meletak jawatan.

Selain dakwaan unsur rasuah, skuad TFC turut didakwa berdepan protes pemain terhadap Irfan hingga menyebabkan mereka mengalami masalah prestasi termasuk dibelasah Pahang 4-0 pada aksi suku akhir kedua Piala FA.

Pengurus pasukan TFC, Ahmad Shahrizal Yahaya bagaimanapun menafikan perkara itu berlaku dalam kem skuad Penyu.

"Tiada (protes terhadap jurulatih), pasukan juga tiada masalah. Kita pernah tewas sebelum ini kepada Selangor dan PKNP, tapi ini mungkin sebab kekalahan besar terutama selepas kita mendahului tiga gol.

"Itu yang menyebabkan timbul pelbagai spekulasi. Tapi bagi kami, kami percaya pemain kami dan juga tiada bukti untuk mengatakan ada unsur rasuah," katanya.

536 dibaca
Berita Harian X