Ahad, 19 Mei 2019 | 11:21am
PRESIDEN Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan (kiri) dan ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz. - Foto Mohd Fitrie Muhamad/Fathil Asri

EGM KAFA lepas Aidilfitri

 

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Datuk Seri Amril Aiman Abd Aziz menegaskan langkahnya untuk mengambil alih pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetap akan diteruskan selepas Aidilfitri.

Pendiriannya dilihat tidak berganjak walaupun sudah mengetahui masalah dihadapi persatuan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Timbalan Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah, Khamis lalu.

Amril berkata, beliau akan berusaha mengambil alih jawatan Presiden KAFA yang kini dipegang Bibi Ramjani Ilias Khan menerusi mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan nanti. 

"Pertemuan (bersama Afandi) itu lebih kepada perbincangan mengenai pasukan dan masalah yang ada dalam KAFA," katanya kepada BH sukan.

"Bagaimanapun, selepas raya (Aidilfitri) nanti PBJ (Persatuan Bolasepak Jajahan) akan teruskan dengan EGM untuk saya ambil alih KAFA."

Akhbar ini semalam melaporkan, Afandi mengesahkan tiada EGM akan dibuat dalam masa terdekat dan buat masa ini Amril bersetuju bersama membantu KAFA dan The Red Warriors (TRW).

Malah, Afandi turut menjelaskan sukar untuk EGM diadakan dalam masa terdekat dan paling awal mungkin boleh dilakukan pada Julai ini.

Amril sebelum ini mencipta kejutan apabila meluahkan bahawa dia sedia mengambil alih KAFA walaupun persatuan itu dihimpit dengan pelbagai masalah terutama daripada aspek kewangan.

Bibi juga dilihat sudah bersedia melakukan peralihan kuasa dengan syarat Amril atau individu lain yang berminat memikul tugas presiden memahami masalah dihadapi KAFA selain memiliki kelayakan memimpin persatuan itu.

483 dibaca
Berita Harian X