Ahad, 19 Mei 2019 | 11:19am
PEMAIN PKNP FC, Mohamad Al-Fateh Mohd Afendi (kiri) mengekang pemain Selangor, K Prabakaran pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi. - NSTP/Effendy Rashid

Mental pemain Red Giants tak kuat - Sathianathan

 

SERI MANJUNG: Pengendali Selangor, B Sathianathan berang dengan sikap anak didiknya yang tidak mempamerkan watak pejuang ketika beraksi menentang PKNP FC dalam saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam tadi.  

Beliau menyifatkan pemain The Red Giants sedang berdepan `penyakit' persediaan mental tidak cukup kuat serta tidak konsisten dalam setiap perlawanan, yang boleh mencetuskan bahaya dalam mengharungi baki perlawanan liga musim ini.  

“Ini satu penyakit, bila kita bertemu dengan pasukan tidak kuat dan dijangka tidak kuat, mentaliti pemain bermain sambil lewa, itupun kita dapat satu gol, selepas  itu kita rehat dah, tak nampak pergerakan yang selalunya berlaku.  

"Saya kecewa dengan hantaran-hantaran kita, tidak sampai ke kaki, ada yang tersasar, ini padang yang cantik, saya selalu kritik pasal padang tetapi padang di stadium  ini saya puji... Tetapi bagi padang yang baik pun, kita tidak boleh buat hantaran, itu yang masalah.  

"Pada separuh masa kedua pula, daripada tendangan percuma dan sepakan sudut, tidak membahayakan PKNP, kita tidak ambl peluang, PKNP pun ada peluang tidak dimanfaatkan juga, tetapi ‘set piece' mereka lebih bahaya daripada kita.  

"Tendangan percuma dan tendangan sudut kita macam kita bagi balik bola (kepada pemain lawan), ada yang tendang bola tidak sampai sasaran dan keluar sampai 50 meter, macam mana tu," katanya.  

Sathianathan tidak menyembunyikan kekecewaan kerana sekadar membawa pulang satu mata dan katanya, alasan berpuasa juga tidak boleh diguna kerana dalam kalangan pemain PKNP mungkin hanya pemain import, Pedro Victor dan G Mugenthiran saja tidak berpuasa, tetapi mampu bermain lebih agresif daripada Selangor.  

"Ini semua sebab masalah kekuatan mental...Kita tidak main dengan apa yang sepatutnya kita main, tahniah PKNP sebab tidak bagi kita main (dengan cara kami)," katanya.

389 dibaca
Berita Harian X