Jumaat, 17 Mei 2019 | 9:14am
Penyerang Liverpool, Mohamed Salah.

Real Madrid mula uji Liverpool

LIVERPOOL: Real Madrid dijangka akan menguji Liverpool musim panas ini dengan menghantar tawaran bagi mendapatkan Mohamed Salah.  

Zinedine Zidane sudah memberitahu pengurusan tertinggi bahawa dia mahu memperkuatkan barisan serangan dengan menambah lagi pemain dengan penyerang Chelsea, Eden Hazard semakin hampir menjadi pemain pertama ditandatangani musim panas ini.

Menurut Canal+, Madrid kini juga sedang berusaha mendapatkan penyerang Liverpool, Salah dengan pemain Mesir itu dipercayai menjadi pilihan Zidane untuk menyertai Hazard dan Karim Benzema dalam barisan tiga penyerang musim depan.

Zidane percaya kepantasan dan pergerakan Salah akan menyuntik dinamik sebenar ke dalam skuadnya dan berharap kelab boleh menggunakan kuasa penarik kuat dalam pasaran bagi mendapatkan persetujuan. 

Bagaimanapun Liverpool menilai pemain berusia 26 tahun itu sebagai seorang daripada aset paling bernilai mereka dan tampak tidak akan melepaskannya.

Salah melalui satu lagi kempen hebat di depan gol musim ini, menjaringkan 26 gol dalam semua kejohanan dan membantu kelab itu hampir dengan gelaran liga selain final Liga Juara-Juara.

Madrid dijangka akan cuba mendapatkan penyerang pilihan jika gagal mengumpan Salah ke Sepanyol dengan Gareth Bale dijangka akan meninggalkan kelab selepas enam tahun.

Madrid juga dikaitkann dengan usaha mendapatkan pemain Lille, Nicolas Pepe dan rakan sepasukan Salah di Liverpool, Sadio Mane. - Agensi

3853 dibaca
Berita Harian X