Khamis, 16 Mei 2019 | 3:08pm
JURULATIH FELDA United, Mohd Nidzam Jamil. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon

Nidzam berang aksi FELDA United

MELAKA: Jurulatih FELDA United, Mohd Nidzam Jamil mengakui persembahan pasukannya sangat teruk dengan penampilan aksi serba tidak menjadi hingga membuka ruang buat Melaka United (MU) membelasah skuad itu 6-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, di sini, malam tadi.

Apapun dia mengakui bertanggungjawab atas persembahan longgar skuad berkenaan sehingga tuan rumah jelas kelihatan terlalu kuat untuk dicabar anak didiknya.

Menurutnya, tiada alasannya termasuk pemain tidak cukup rehat, jadual padat dan kecederaan yang menjadi jawapan kepada aksi suram terbabit kerana dia melihat kekurangan yang wujud adalah atas kelemahan persembahan pasukan itu sendiri.

“Saya juga menafikan strategi dan sebagai persiapan mengharungi saingan separuh akhir Piala FA dengan menyimpan pemain dalam perlawanan ini.

“Sebaliknya aksi separuh akhir masih jauh malah lebih 40 hari lagi dan ia tidak perlu buat saya untuk menyimpan mana-mana pemain bagi berdepan saingan berkenaan,” katanya sambil mengakui keseluruhan persembahan sangat teruk.

Katanya, dia terpaksa menurunkan beberapa pemain akademi kelab berkenaan mengharungi perlawanan sebesar itu, walaupun ia bagus untuk pengalaman mereka namun simpati dengan keputusan perlawanan.

Namun, dia juga pelik berikutan beberapa pemain yang memiliki banyak minit beraksi bersama pasukan namun tampil lemah dalam perlawanan berkenaan sehingga lawan mudah merobek gawang pasukan.

Baginya dia sememangnya tidak gembira dengan keputusan terbabit, tambahan tewas dengan pasukan sama di gelanggang sama dengan jaringan 2-6 pada persembahan Piala Malaysia musim lalu.

Bagaimanapun hakikatnya dia mengharapkan deretan ramai pemain dalam senarai kecederaan termasuk Hadin Azman, Jasazrin Jamaluddin, Khairul Amri Mohammad Kamal dan Wasaki Watanabe segera kembali pulih untuk membarisi skuadnya selepas ini.

Apapun dia tetap memuji usaha semua pemain untuk berdepan skuad Hang Tuah termasuk kegigihan mereka untuk mengatur gerakan dan memburu jaringan.

Malah semangat itu diharap terus menjadi keutamaan pemain dalam usaha dia menyediakan pasukan walaupun  kekurangan pemain utama akibat kecederaan ketika berdepan Pahang Sabtu ini dan Terengganu beberapa hari selepas itu.

Anak kelahiran Melaka terbabit berkata, semua perlu dilalui dengan motivasi tinggi walaupun bertemu pasukan ‘gergasi’ berikutan semua keputusan mampu berlaku termasuk melakukan kejutan  atau sebaliknya.

Dalam perlawanan malam tadi, MU berpesta gol menerusi jaringan Patrick Reichelt (m-4), Safiq Rahim (m-25) Nazrin Nawi (M-35) dan hatrik oleh Luka Milunovic (m-36, 53 dan 89) pada perlawanan di depan kira-kira 1,200 penyokong setia skuad Hang Tuah.

Berita Harian X