Khamis, 16 Mei 2019 | 12:18am
PEMAIN Melaka United, Patrick Alcala Reichelt (kiri) diasak pemain FELDA United, Muhammad Zahril Azri Zabri pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi. - Foto BERNAMA

MU ratah FELDA United

MELAKA: Melaka United (MU) menampilkan persembahan garang selepas berpesta gol membenam FELDA United 6-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi.

Turun dengan misi meraih mata maksimum, tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencipta jaringan pendahuluan selepas Patrick Reichelt merembat masuk gol pertama seawal minit ke-4 perlawanan.

Gol terbabit terus membakar semangat buat skuad Hang Tuah dengan mengatur gerak menambah jaringan dalam memastikan impian kemenangan mampu direalisasikan.

Hasilnya Deevan Raj yang masuk menggantikan Anselmo Casagrande berjaya melakukan hantaran kepada Safiq Rahim membolehkan bekas kapten kebangsaan terbabit merembat kencang dari luar kotak penalti pada minit ke-25 untuk menghadiah jaringan kedua MU.


PEMAIN Melaka United, Luka Milunovic (kiri) diasak penjaga gol FELDA United, Norazlan Razali pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, malam tadi. - Foto BERNAMA

Seperti malam serba tidak menjadi buat pelawat selepas benteng mereka terus dirobek lawan  buat kali ketiga menerusi tolakan Nazrin Nawi pada minit ke-35 selepas mengutip hantaran Luka Milunovic.

Milunovic yang kembali menyertai MU selepas dipinjamkan ke Sabah turut menguis cantik gol keempat tuan rumah pada minit ke-36 menerusi gerakan solonya menewaskan penjaga gol Norazlan Razali.

Bersambung babak kedua Milunovic menambah jaringan kelima MU pada minit ke-53 selepas menolak bola muntah Norazlan hasil sepakan Saiful Selamat sebelum melengkapkan hatriknya pada minit ke-89.

The Fighters bagaimanapun tetap gigih berusaha memburu jaringan saguhati namun beberapa percubaan mereka menerusi Joconei Scad (m-80) dan Azim Rahim (m-83 dan 86) tidak behasil.

Kemenangan terbesar skuad bimbingan jurulatih Zainal Abidin itu nyata amat melegakan berikutan hanya beraksi dengan empat import selain Casagrande yang turut terpaksa dikeluarkan pada minit ke-25 akibat kecederaan.

 

 

1283 dibaca
Berita Harian X