Khamis, 16 Mei 2019 | 12:10am
PEMAIN Selangor, Ifedayo Olusegun Omosuyi meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Kedah pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, malam tadi. - Foto BERNAMA

Hatrik Ifedayo julang Red Giants

SHAH ALAM: Keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mengikat Ifedayo Olusegun Omosuyi nyata berbaloi apabila penyerang itu mempamer magis pada penampilan sulungnya dengan meledak hatrik untuk membantu Red Giants menewaskan Kedah 3-1, malam tadi.

Walaupun memerlukan tempoh kira-kira 30 minit untuk mula 'menjelmakan' diri, bekas penyerang FELDA United FC dan Melaka United itu berjaya membalas kepercayaan pengendali pasukan, B Sathianathan apabila membuktikan sentuhan jaringannya masih belum berkarat.

Kemenangan pada aksi Liga Super di Stadium Shah Alam itu berjaya memperbaiki keputusan seri 1-1 yang dicatatkan pada aksi pertama di Alor Setar 26 April lalu.

Babak pertama berlangsung seimbang buat kedua-dua pasukan apabila dilihat saling berbalas serangan namun selepas setengah jam aksi berlangsung, Ifedayo yang baharu kali pertama diturunkan mula menunjukkan ketajamannya.

Akaun jaringan penyerang dari Nigeria itu bersama Selangor dibuka secara rasmi pada minit ke-34 selepas menyambut baik sepakan yang dilakukan Sandro da Silva.

Pada minit ke-44 dan berpunca kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim yang gagal menangkap bola dengan kemas, ia membuka ruang kepada Ifedayo menambah jaringan kedua peribadinya meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 tamat babak pertama.

Tiga minit babak kedua bersambung, Kedah sepatutnya berjaya merapatkan kedudukan sebaliknya peluang terhidang gagal disudahkan dengan baik oleh Zaquan Adha Abdul Razak.

Minit ke-57, Ifedayo melengkap penampilan sulungnya dengan penuh bergaya apabila menyempurnakan hatrik selepas menyempurnakan peluang terhidang yang tercetus daripada serangan balas pantas.

Tujuh minit selepas itu, pencarian jaringan Kedah berhasil menerusi Fernando Rodriguez Ortega dan minit ke-67, Helang Merah sepatutnya sudah meraih gol kedua sebaliknya rembatan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin sekadar menggegar palang.

Jaringan pertama itu jelas membangkitkan semangat pelawat tetapi nasib seakan tidak berpihak kepada pelawat ketika deretan peluang tidak menemui gawang lawan.

Ketika Kedah rancak mengatur serangan, Ifedayo sekali lagi menggegar gawang lawan sebaliknya jaringan itu dibatalkan selepas dia terlebih dulu dikesan berada dalam kedudukan offsaid.

2010 dibaca
Berita Harian X