Rabu, 15 Mei 2019 | 10:47pm
BINTANG muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi. - Foto Reuters

Chelsea guna Hazard 'pancing' Hudson-Odoi

LONDON: Bintang muda Chelsea, Callum Hudson-Odoi mempunyai keinginan untuk kekal di Stamford Bridge tetapi memerlukan jaminan dia adalah pemain yang akan menggantikan posisi Eden Hazard.

Tonggak Belgium, Hazard dijangka akan berpindah ke Real Madrid selepas mengesahkan dia ‘sudah membuat keputusan’ mengenai masa depannya selepas perlawanan terakhir Liga Perdana menentang Leicester, Ahad lalu.

Real juga dipercaya sudah bersetuju dengan yuran yang diminta oleh Blues dengan perjanjian dijangka di antara €100 juta (RM468.62 juta) dan €130 juta (RM609.21 juta) dengan Hazard dijangka mendedahkan keputusannya selepas perlawanan final Liga Europa, hujung bulan ini.

Chelsea terdesak untuk mengekalkan Hudson-Odoi dengan menolak empat tawaran daripada gergasi Jerman, Bayern Munich pada Januari lalu sekali pun pemain muda England itu sudah menyerahkan surat permohonan untuk berpindah.

Begitupun, keinginan pemain berusia 18 tahun itu kian reda selepas pengurus, Maurizio Sarri menyenaraikannya dalam kesebelasan utama bagi empat perlawanan Liga Perdana berturut-turut sebelum dia berdepan masalah kecederaan pada bulan lalu.

Selepas menjalani pembedahan di Sepanyol, Hudson-Odoi teruja untuk mengetahui mengenai masa depannya di Stamford Bridge sekali pun masih belum diberikan tawaran pembaharuan kontrak dengan perbincangan dijangka berlangsung selepas aksi final Liga Europa menentang Arsenal pada 29 Mei ini.

Seperti Bayern yang menawarkan nombor jersi 10 yang dipakai legendanya Arjen Robben, Chelsea juga dijangka melakukan tindakan sama dengan menawarkan nombor jersi 10 yang digunakan Hazard sejak tujuh tahun lalu dan ia jelas meningkatkan minat Hudson-Odoi.

Pilihan masih terbuka buatnya dengan Chelsea tampak berada di landasan terbaik tetapi pemain kelahiran London itu berharap untuk pulih lebih awal sekali pun kecederaan yang dihadapinya mungkin menghalangnya untuk beraksi selama enam bulan.

Sasarannya adalah kembali beraksi ketika Liga Perdana musim 2019-20 membuka tirainya pada Ogos dan pemenang anugerah Pemain Muda Terbaik itu mengakui proses pemulihannya berjalan lancar.

“Saya fikir pembedahan berjalan dengan amat lancar. Segala-galanya berjalan dengan baik seperti yang saya mahukan,” kata Hudson-Odoi. “Saya amat gembira memenangi anugerah berkenaan.

“Saya fikir musim ini berjalan dengan baik dan saya merasakan setiap kali saya bermain, saya semakin merasa yakin dan menikmatinya.  Saya menikmati detik setiap kali saya bermain. Saya hanya perlu bekerja keras dan berharap mendapat lebih peluang.”

Chelsea dipercayai menangguhkan perbincangannya dengan Hudson-Odoi disebabkan beberapa isu kelab itu yang turut mengganggu perbincangan membabitkan beberapa pemain lain. - Agensi

 

 

Berita Harian X